fbpx

MBI siasat peniaga ais tanpa lesen di Pasar Besar Ipoh

RUMAIZI Baharin (kanan) memotong riben merasmikan Pelancaran e-Wallet Maybank Bazar Ramadan MBI di Bazar Ramadan Stadium, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menyiasat dakwaan terdapat peniaga ais tanpa lesen yang turut melibatkan warga asing di Pasar Besar Ipoh seperti yang tular dalam media sosial minggu lalu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, siasatan sedang dijalankan bersama beberapa agensi berkaitan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita telah pun keluarkan notis di situ, namun kita tunggu dahulu laporan akhir siasatan.

“Perkara ini bukan hanya melibatkan MBI sahaja, tetapi agensi lain. Jika terus dibuat kesimpulan, nanti orang akan marah,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan ‘e-wallet’ Maybank Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Serantau Maybank Perak, Datin Munirah Che Rose.

Dakwaan itu dikongsi di laman Facebook Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia yang mendedahkan wujudnya peniaga ais haram dalam pasar itu sejak tujuh tahun lalu.

Selain beroperasi tanpa lesen, peniaga terbabit juga didakwa menggunakan khidmat pekerja asing tanpa permit.

Sementara itu,Rumaizi berkata, pihaknya menyasarkan untuk memperluaskan kaedah ‘bayaran tanpa tunai’ menerusi aplikasi e-wallet di semua medan selera di bandar raya ini.

Katanya, kaedah urus niaga tanpa penggunaan wang tunai itu turut melibatkan pasar dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat

“E-wallet di bazar ramadan adalah projek perintis MBI dengan kerjasama Maybank Berhad. Buat permulaan, kita jalankan di sini sebelum memperluaskan di aset lain milik MBI seperti medan selera serta pasar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

×
×