TANJUNG MALIM: Seorang remaja perempuan berumur 19 tahun hilang dipercayai sesat ketika melakukan aktiviti mendaki Bukit Changkat Asa di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, remaja berkenaan, Nur Izzati Humaira Azizul dipercayai sesat semasa menuruni bukit ketika mendaki bersama lima rakan dan ahli keluarganya.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.26 petang.
“Bomba memulakan pencarian di kawasan Bukit Changkat Asa pada radius ketinggian 234 meter. Operasi ditangguhkan dan diserahkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut kerana lokasi kejadian terletak di bawah seliaan mereka.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim akan ke lokasi sekiranya diperlukan,” katanya.
Menurutnya, operasi melibatkan 13 anggota bomba, bomba sukarela (14 orang), polis (tiga orang), anggota Angkatan Pertahanan Awam (4 orang) serta 12 orang malim gunung Perak.
Difahamkan hujan lebat dan keadaan gelap menyukarkan operasi pencarian dan menyelamat. – UTUSAN










