GEORGE TOWN : Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan terus memantau perkembangan politik semasa sebelum memutuskan sama ada mahu terus bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) negeri atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, pada masa yang sama, persiapan rapi tetap akan dilakukan terutamanya dalam semua kawasan yang pernah mereka tandingi pada pilihan raya yang lalu.
“Kita ambil maklum tentang pergolakan (antara PH dan BN) khususnya selepas konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bahru tempoh hari termasuk apa yang disarankan dalam konvensyen tersebut.
“Tetapi, saya rasa konvensyen itu hanya menyentuh tentang (situasi) yang berlaku di beberapa negeri sahaja. Di Johor, saranan itu dibuat sebagai respon terhadap pengumuman atau hasrat UMNO dan BN di sana manakala di Negeri Sembilan, kerana ada pergolakan tersendiri.
“Tetapi di lain-lain negeri, termasuk Pulau Pinang, kita akan memantau perkara ini dengan amat rapi. Kita juga akan buat persiapan dalam semua kawasan yang pernah kita tanding. Itulah antara tindakan yang kita akan lakukan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Hadir sama Pengerusi DAP negeri, Steven Sim Chee Keong; pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Goh Choon Aik; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Muhammad Faiz Fadzil serta beberapa pemimpin lain.
Terdahulu, beliau turut mengumumkan jawatankuasa baharu Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang 2024/2026 terdiri daripada gabungan tiga parti utama itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PH negeri di sini.
Dalam jawatankuasa tersebut, tiga jawatankuasa baharu turut dibentuk bagi menghadapi PRU-16 iaitu Manifesto Pilihan Raya yang diketuai oleh Naib Pengerusi DAP negeri, Zairil Khir Johari; Penerangan (wakil PKR negeri, Lee Boon Heng) serta Mobilisasi yang diterajui oleh wakil Amanah negeri, Zahar Zainul.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, cabaran terbesar menjelang pilihan raya akan datang bukan sekadar mengenai soal kekuatan lawan dalam politik, tetapi, sejauh mana rakyat masih yakin bahawa PH Pulau Pinang mampu terus mentadbir negeri ini dengan baik.
“Rakyat tahu siapa yang mempunyai rekod membangunkan negeri, rakyat juga tahu siapa yang membawa pelaburan dan peluang pekerjaan dan mereka tahu siapa yang menjaga kestabilan negeri selama ini.
“Selain itu, rakyat juga tahu bahawa masa depan Pulau Pinang tidak boleh dipertaruhkan kepada politik kebencian dan perpecahan,” ujar beliau.-UTUSAN










