\ARAU : Para pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkemungkinan tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman jika pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Pengarah Pusat Kesihatan Unimap, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan memberitahu, pihaknya akan menunggu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kebenaran rentas negeri itu.
Katanya, pihak universiti juga menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa sama ada pelajar yang telah masuk ke kampus dibenarkan pulang ke kampung atau tidak.
“Jika tidak dibenarkan rentas negeri, kemungkinan pelajar ini tidak diizinkan untuk pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.
“Bagaimanapun, pihak kampus akan menyediakan pelbagai aktiviti dan program kepada mereka yang tidak dapat pulang nanti,” katanya di sini semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, hampir 20 juta umat Islam di negara ini dijangka tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung ketika jangkitan Covid-19 melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih sebulan.
Peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh negara yang melonjak kepada 2,148 kes semalam dan kegagalan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengunjungi pasar Ramadan meningkatkan kebimbangan kerajaan bahawa negara berdepan gelombang keempat pandemik itu.
Kebimbangan peningkatan Covid-19 serta gelombang keempat mendorong Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mencadangkan supaya perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan pada sambutan terbesar umat Islam di Malaysia bulan depan.
Tambah Mohd Fo’ad, terdapat 1,818 pelajar yang sudah berada di kampus dan sedang menjalankan proses isolasi atau pengasingan ketika ini sejak proses kemasukan semula pelajar fasa pertama pada 21 Februari lalu.
Menurutnya, Unimap mempunyai dua pusat isolasi iaitu di kampus Pauh Putra serta kampus Uniciti, Sungai Chuchuh dan pada masa ini terdapat 388 pelajar yang menjalani proses isolasi bagi kemasukan fasa keempat yang bermula semalam.
“Fasa kelima pula akan bermula hari ini dan mereka akan menjalani isolasi selama 10 hari yang akan tamat 28 April.
“Kami menjangka 3,800 lagi pelajar akan pulang ke kampus selepas Hari Raya Aidilfitri terutamanya mereka yang mempunyai pembelajaran melibatkan makmal,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










