Lebih 2 juta pelajar sekolah menengah mula sesi persekolahan - Utusan Malaysia

Lebih 2 juta pelajar sekolah menengah mula sesi persekolahan

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, Kedah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bagi peringkat menengah baru-baru ini. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih dua juta pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan hari ini dan semalam selepas melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak lebih dua bulan pada 20 Januari lalu.

Pelajar-pelajar bagi Kumpulan A iaitu Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu menghadiri persekolahan bersemuka semalam manakala pelajar kumpulan B (selain empat negeri) bermula hari ini melibatkan kira-kira 2,445 sekolah dengan keseluruhan 78,004 kelas membabitkan kira-kira 177,756 guru.

Sesi persekolahan bersemuka bagi sekolah rendah bermula pada 1 Mac lalu iaitu pelajar prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 manakala pelajar-pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 pada 8 Mac.

Walaupun jumlah kes positif Covid-19 semakin menurun, timbul kebimbangan penularan jangkitan dalam sekolah apabila Kementerian Kesihatan merekodkan 41 kluster membabitkan institusi pendidikan di seluruh negara.

Jumlah itu adalah daripada 811 kluster jangkitan yang dilaporkan di negara ini antara 1 Januari hingga 25 Mac lalu.

Sebanyak 15 kluster membabitkan pusat pengajian tinggi, diikuti 11 kluster jangkitan sekolah menengah, prasekolah dan sekolah rendah (10) serta pusat tahfiz dan madrasah (lima) yang dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan ini.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan telah menyenaraikan 55,539 guru dari seluruh negara yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 sebagai penerima suntikan vaksin pada fasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Kelmarin Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin dilaporkan berkata, proses vaksinasi kepada guru-guru sedang dijalankan.

Beliau turut memberitahu, penutupan sekolah tidak dilakukan secara semberono tetapi mengikut nasihat dan penilaian risiko Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sama ada kelas tertentu ditutup, tingkat, sebahagian bangunan atau seluruh sekolah.

Ini termasuk, katanya, penelitian mendalam dari segi operasi kekurangan tenaga pengajar sekiranya mana-mana sekolah tidak boleh beroperasi secara efisien.

KPM sebelum ini mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 terutama semasa penyuraian pelajar selepas sesi tamat persekolahan.

Justeru, semua pihak terutama pentadbir, guru, ibu bapa atau penjaga, pengusaha kantin, pemandu kenderaan sekolah serta pelajar perlu sentiasa patuh kepada SOP dan Garis Panduan itu bagi mengelak penularan jangkitan wabak itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya