IPOH: Projek pembangunan hartanah bersepadu yang mengunjur dari Brinchang ke Kea Farm di Cameron Highlands akan memburukkan lagi kesesakan trafik di kawasan pelancongan tanah tinggi itu.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, jumlah pelancong ke tanah tinggi itu meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun lalu sehingga melebihi 600,000 setahun berdasarkan angka pada tahun 2013.
Menurutnya, penambahan pengunjung dan pelancong mengakibatkan kesesakan lalulintas yang ketara terutama pada musim cuti.
“Projek pembangunan itu akan meningkatkan ‘traffic generating activities’, sekali gus menambahkan kesesakan lalu lintas di jalan utama di Cameron Highlands.
“Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) harus menyelesaikan atau mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas sebelum memberi kelulusan kepada lain-lain pembangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, keselesaan dan keharmonian penduduk Cameron Highlands harus diberi keutamaan daripada memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu.
Menurutnya, untuk mengatasi kesesakan lalulintas ini, kerajaan telah bercadang untuk mengambil beberapa langkah termasuk pembinaan jalan-jalan pintas baru (jalan pintas dari JP 185 ke JP 59 dan jalan pintas dari Habu ke Tringkap) dan laluan aerial tram.
“Jadi bagaimana MDCH boleh meluluskan perjanjian usahasama ini sebelum masalah kesesakan lalu lintas ini diatasi?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE










