Kerjasama UMP, ADK Solution sanitasi industri penerbangan, rel - Utusan Malaysia

Kerjasama UMP, ADK Solution sanitasi industri penerbangan, rel

ZULARISAM Ab. Wahid (dua kiri) bertukar dokumen memorandum persefahaman dengan Shaiful Amri Md. Aris (dua kanan) di KLIA baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan ADK Solution Sdn. Bhd. (ADK Solution) bekerjasama melalui perkongsian kepakaran dalam bidang sanitasi awam menerusi penghasilan ‘diaclean pera sterilant’ sebagai usaha mengekang Covid-19.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli berkata, usaha itu sebagai langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan dapat diminimumkan terutamanya dalam sektor pengangkutan awam.

“Penghasilan diaclean pera sterilant berkesan dalam membunuh kuman dan mengawal keadaan secara efektif mengikut tatacara pembersihan serta disinfeksi khususnya di tempat awam.

“Ia merupakan disinfeksi organik berasaskan cuka makanan keluaran tempatan pertama di Malaysia yang telah mendapat pensijilan MDA Kementerian Kesihatan dan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Setakat ini, ia terbukti mampu membunuh ‘human coronavirus’ dalam masa kurang daripada dua minit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengarah UMP Renal Care Sdn. Bhd., Profesor Datuk Ts. Dr. Zularisam Ab. Wahid berkata, ‘diaclean pera sterilant’ mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA) sebagai bahan aktif yang mampu membunuh virus Covid-19.

“Ia dihasilkan teknologi tempatan sebagai disinfektan organik kelas tinggi (HDL) oleh anak syarikat UMP iaitu UMP Renal Care Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar teknologi bahan aktif asid peracetik pertama di Malaysia.

“Pihak ADK Solution pula menjalankan servis pencucian dan disinfeksi kapal-kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ia juga bakal dikembangkan dalam industri rel transit penumpang seperti aliran transit ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), perkhidmatan monorel dan komuter serta melibatkan industri pengangkutan awam lain seperti teksi, feri dan bas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADK, Shaiful Amri Md. Aris berkata, ‘diaclean pera sterilant’ telah diuji ke atas beberapa pesawat penumpang dan kargo selain diterima baik penggunaannya oleh beberapa syarikat penerbangan.

“Hasil aplikasi tersebut membanggakan dan terbukti berkesan dalam mencegah dan mengawal daripada berlakunya sebarang penularan Covid-19 atau mampu membunuh ‘human coronavirus’ dalam masa kurang daripada dua minit.

“Kami juga turut menjalankan servis nyah cemar di beberapa pesawat penumpang, pesawat kargo, bahagian logistik barangan, gudang dan pejabat-pejabat operasi penerbangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya