fbpx

Kerjasama teknikal tingkatkan kualiti pendidikan tinggi

DR. MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkukuh kerjasama antarabangsanya menerusi pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) dengan Hong Kong Council for Accreditation of Academic and Vocational Qualifications (HKCAAVQ) untuk tempoh tiga tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pemeteraian MoU itu bagi mengukuhkan hubungan sedia ada serta meningkatkan kerjasama teknikal antara pihaknya dengan HKCAAVQ.

“Jalinan ini membolehkan MQA bertukar maklumat dan membolehkan pegawai MQA dan  HKCAAVQ untuk saling mempelajari antara satu sama lain terutama membabitkan transnational education (TNE).

“Dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini, TNE menjadi satu daripada elemen penting yang perlu diberi perhatian kerana membabitkan standard akademik luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani dokumen berkenaan dalam satu majlis secara dalam talian di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Mohammad Shatar mewakili MQA, manakala HKCAAVQ diwakili Pengarah Eksekutifnya, Albert Chow. 

Hadir sama, Pengarah Kanan Akreditasi MQA, Lilian Kek Siew Yick; Timbalan Pengarah Eksekutif HKCAAVQ (Vokasional dan Pendidikan & Latihan Profesional), Dr Chiu Sau-mee; Ketua Eksekutif Sokongan dan Komunikasi Korporat HKCAAVQ, Cindy Chan dan Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa (yang menjalankan tugas Penasihat Undang-undang), Nor Hafizah Mohd Arip.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dari segi pembangunan kapasiti, MoU itu bakal membuka peluang pembangunan pegawai MQA bagi mengikuti program pertukaran staf di agensi berkenaan dan sebaliknya.

“Inisiatif ini akan memperkasa kerjasama aktiviti jaminan kualiti dan akreditasi pada masa akan datang, seterusnya mengukuhkan kedudukan MQA sebagai autoriti global dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi dan diperakui di peringkat antarabangsa.

“Melalui jalinan kerjasama menerusi MoU ini juga mobiliti pelajar akan dapat ditingkatkan seterusnya menaikkan kebolehpasaran graduan di pasaran luar negara selaras dengan inisiatif MQA Global yang sedang giat kami usahakan sekarang,” katanya.

Sementara itu, Albert berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat melanjutkan MoU berkenaan untuk kali keempat kerana jalinan strategik dengan agensi akreditasi luar negara amat diperlukan terutama dalam memperakui kualiti pendidikan tinggi.

“Kerjasama ini akan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak dalam usaha menjayakan kepentingan bersama dalam aktiviti akreditasi pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

 

 

 

×
×