Kejayaan dua anak Malaysia harumkan negara - Utusan Malaysia

Kejayaan dua anak Malaysia harumkan negara

- FB ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar Malaysia di atas kejayaan antara 10 teratas peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa suka cita dan bangga dengan pencapaian cemerlang Nurul Fatin Nabihah Hamdan dan Siti Naziah Mohamad Nazid sehingga mengharumkan nama negara.

“Seri Paduka turut menzahirkan rasa kagum di atas kesungguhan dan semangat perjuangan tinggi dipamerkan kedua-dua pelajar ini dalam menghadapi dugaan dan kekurangan bagi mengejar cita-cita mereka.

“Kejayaan kedua-dua pelajar ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa dengan iltizam dan bantuan serta bimbingan, pelajar-pelajar dari golongan B40 dan asnaf mampu berjaya dengan cemerlang di peringkat global sekiranya diberi peluang,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan memaklumkan Seri Paduka menzahirkan harapan agar kejayaan Nurul Fatin Nabihah dan Siti Naziah dapat menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ia khususnya para belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

“Yang di-Pertuan Agong mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-duanya serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa di masa hadapan,” kata kenyataan itu lagi.

Nurul Fatin Nabihah, 25, dari Berang, Terengganu adalah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) tajaan Yayasan Sime Darby berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR).

Beliau adalah anak sulung daripada empat beradik itu kehilangan bapa pada usia 11 tahun dan kemudiannya dibesarkan oleh bapa tirinya bekerja sebagai petani sementara ibunya merupakan seorang suri rumah tangga.

Mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nurul Fatin juga berjaya lulus di dalam satu lagi kertas yang diambilnya iaitu Advanced Taxation (ATX).

Manakala Siti Naziah, 21, pula adalah pelajar tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak pula berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi kertas Audit & Assurance (AA).

Anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Taiping, Perak itu menghadapi cabaran yang getir kerana kehilangan ayah pada 2018 akibat kanser dan ketika itu beliau sedang sibuk dengan persiapan untuk menghadapi peperiksaan CAT.

Pelajar-pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu merupakan antara 92,000 orang calon dari seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut pada sesi Mac lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.