PETALING JAYA: Peningkatan pesakit Covid-19 dalam tempoh dua minggu sejak kebelakangan ini menyebabkan kapasiti penggunaan katil, wad dan unit rawatan rapi (ICU) hospital swasta sekitar Lembah Klang penuh 100 peratus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Dr. Kuljit Singh berkata, situasi tersebut telah menyebabkan hospital swasta kini tidak mampu menerima pesakit Covid-19 sekali gus memerlukan perhatian serius semua pihak termasuk kerajaan.
Justeru itu, beliau mencadangkan agar fasiliti kerajaan ditambah untuk menampung peningkatan pesakit Covid-19 yang kemungkinan bertambah pada masa terdekat.
“Dengan melihat keadaan ini, semua katil, wad Covid-19 dan ICU hospital swasta sudah tidak mampu menerima lagi pesakit kerana semua telah penuh 100 peratus.
“Paling bimbang ditakuti adalah adalah kekangan memberi rawatan susulan katil dan bantuan oksigen yang terhad kepada orang ramai,” katanya.
Sebelum ini, sebanyak 95 hospital swasta yang mempunyai kepakaran dan keupayaan menyatakan persetujuan dengan Kementerian Kesihatan untuk merawat pesakit Covid-19 dengan menawarkan 1,286 katil, selain 65 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) beserta 54 alat bantuan pernafasan.
Kes harian Covid-19 di seluruh negara semalam mencecah 3,332 iaitu melepasi angka 2,000 sejak 15 April lalu.
Sehubungan itu, Dr. Kuljit mencadangkan kepada kerajaan agar kapasiti hospital awam untuk rawatan Covid-19 ditambah untuk menampung pesakit Covid-19 memandangkan mereka mempunyai ramai tenaga kerja dan banyak kelengkapan berbanding hospital swasta.
Kata beliau, pihaknya bersedia menerima pesakit bukan Covid-19 daripada hospital kerajaan dan memberi ruang kepada mereka menambah jumlah katil bagi pesakit wabak itu.
“Kita mencadangkan pesakit bukan Covid-19 yang menjalani rawatan di hospital kerajaan dihantar mendapatkan rawatan di fasiliti swasta dengan segala kos rawatan ditanggung kerajaan.
“Keadaan ini secara langsung dapat mengurangkan beban ditanggung hospital kerajaan dan kemudian mereka boleh memberi tumpuan kepada pesakit Covid-19,” katanya.
Dr. Kuljit menambah, orang ramai perlu mengambil serius perkara itu dan membantu mengurangkan penularan wabak Covid-19 bagi mengelakkan kesesakan di hospital.
“Kalau tiada urusan, sila duduk di rumah masing-masing, elakkan menghadiri tempat sesak dan menyertai aktiviti sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE










