Hentikan politik, hormati Ramadhan - Rais Yatim - Utusan Malaysia

Hentikan politik, hormati Ramadhan – Rais Yatim

DR. RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin politik perlu melakukan gencatan politik dan tidak menimbulkan isu yang boleh memecah belahkan masyarakat sebagai menghormati bulan Ramadhan bermula esok (13 April 2020).

Semua pihak terutama parti politik Melayu Islam yang bergolak juga diingatkan untuk mengetepikan perbezaan fahaman yang sehingga sekarang masih belum mencapai kata sepakat.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, seharusnya bulan Ramadhan dipenuhi dengan amal ibadah untuk mendapatkan redha Ilahi dan bukannya memecah belahkan golongan tertentu dengan tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Kita tidak harus berpecah belah dalam Ramadhan. Ketepikan perasaan runcing politik dan temukan diri kita untuk bersama kembali kepada yang benar. Dalam bulan puasa ini pemimpin-pemimpin jangan cuba menimbulkan isu yang boleh meretakkan masyarakat sedangkan sekarang perpaduan kita sudah menjadi sangat runcing.

“Selain itu, jangan mencemarkan sesuatu pihak dengan kata-kata sinis, memfitnah orang, membelah bahagikan golongan tidak berdosa atau mengenakan tomahan yang tiada kena mengena dengan keadilan,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan parti-parti politik yang masih berbalah perlu melakukan tindakan menghentikan perbalahan politik sepanjang bulan Ramadhan.

Februari lalu, pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa kepemimpinan tertinggi parti itu mengkaji semula kerjasama dengan PKR berikutan isu beberapa pemimpinnya dikatakan beralih memberi sokongan kepada parti berkenaan.

Bulan lalu, UMNO pula memuktamadkan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Rais berkata, sebahagian perpecahan yang berlaku adalah dalam kalangan pemimpin politik Melayu Islam dan bukannya kaum lain.

“Kenapa tidak hormat dengan tuntutan agama? Jika tuntutan itu dapat dilaksanakan, orang bukan Melayu pun akan menghormati kita sebab Melayu adalah majoriti di negara ini. Apa yang majoriti buat, golongan minoriti akan melihat dan menunggu dan inshaAllah akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Ditanya jika pergolakan tetap berlaku di tengah-tengah rakyat negara ini menjalani ibadah puasa, kata Rais: “Pemimpin itu sendiri harus menunjukkan kewibawaan diri mereka. Jangan tunggu orang lain. Sendiri buat. Kita mesti berusaha jika tidak, apalah yang hendak dihormati oleh generasi baharu apabila mereka menjadi pemimpin nanti?,” soalnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.