Henti laga-lagakan pemimpin UMNO - Hishammuddin - Utusan Malaysia

Henti laga-lagakan pemimpin UMNO – Hishammuddin

HISHAMMUDDIN Hussein ketika berucap pada Program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Dewan MPK di Paloh, Kluang di Johor. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: UMNO perlu memberi fokus terhadap beberapa agenda yang lebih penting berbanding tumpuan terhadap isu yang seolah-olah melagakan kepemimpinan tertinggi sehingga menjejaskan persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, agenda untuk menstabilkan parti adalah lebih mustahak bagi mengelak rakyat skeptikal terhadap UMNO.

Menurut beliau, sekiranya isu-isu termasuk rakaman audio dan gerakan tertentu masih melingkari UMNO walaupun selepas mengadakan perhimpunan agungnya baru-baru ini, perkara itu akan menimbulkan keraguan terhadap solidariti parti.

“UMNO 3.0 itu apa, tak habis-habis saya minta semua pihak cukup-cukuplah, kita banyak lagi agenda seperti saya sudah nyatakan yang paling penting adalah kestabilan parti kita sendiri.

“Usaha untuk melaga-lagakan pemimpin, mewujudkan kem-kem tertentu mesti dihentikan kerana apa yang penting sekarang untuk kita perkukuhkan parti kita selepas perhimpunan baru-baru ini.

“Kalau dah lepas perhimpunan pun kita masih lagi memikirkan perkara-perkara yang boleh memecah belah dan menimbulkan keraguan terhadap solidariti parti, saya bimbang bukan ahli-ahli UMNO yang akan rasa bahangnya tetapi rakyat sendiri akan memandang serong terhadap parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Dewan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di Paloh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Luar memberi contoh terhadap apa yang berlaku kepada dirinya dahulu apabila didakwa mahu melompat parti, mengkhianati UMNO dan tuduhan-tuduhan lain.

“Sememangnya (menjejaskan parti) kalau tak dibendung benda ini yang menular dari awal dahulu, saya sendiri menjadi mangsa dah tiga tahun tetapi saya masih kekal lagi dalam UMNO.

“Mereka boleh tuduh saya khianat parti, saya nak lompat parti, tetapi dah tiga tahun saya masih lagi dalam UMNO, jika saya habiskan masa tiga tahun lalu hanya memikirkan nak lompat parti atau tidak itu hanya membazirkan masa dan tidak akan membantu membina UMNO kembali,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau tiada masalah untuk melepaskan jawatan Kabinet dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya arahan itu datangnya dari Majlis Tertinggi (MT).

“Saya setia kepada parti sekiranya MT kata perlu letak jawatan sebagai menteri, saya letak jawatan, tetapi yang akan menentukan sama ada saya letak jawatan ialah MT bukan individu-individu tertentu dalam parti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya