PETALING JAYA: Teka teki siapa yang bakal menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjadi tanda tanya meskipun kontrak Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid bakal tamat pada 4 Mei ini.
Walaupun terdapat desas-desus mengatakan Abdul Hamid akan terus kekal memimpin pasukan itu, beliau mengulangi pendiriannya untuk mengundurkan diri apabila tiba masanya.
Malah terdapat ‘kata-kata’ penyambungan kontrak beliau sudah pun diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan dipersetujui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, Abdul Hamid menafikan perkara itu dan memberitahu Utusan Malaysia bahawa beliau tetap menyerahkan jawatan Ketua Polis Negara kepada penggantinya 3 Mei ini.
“Segala dakwaan mengatakan saya akan kekal sebagai Ketua Polis Negara adalah tidak benar.
“Malah, Perdana Menteri sendiri telah ambil maklum mengenai penamatan kontrak saya tidak lama lagi dan bersetuju,” katanya di sini semalam.
Ditanya bakal mengganti tempatnya, kata Abdul Hamid, mengikut tradisi, sudah pasti tugas menerajui pasukan itu diserahkan kepada timbalannya.
“Segala keputusan terpulang kepada kerajaan untuk menentukan siapa yang akan dilantik memandangkan terdapat beberapa lagi pemimpin tertinggi polis turut layak untuk dilantik ke jawatan tersebut,” jelasnya.
Pada 16 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan nama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani antara disebut-sebut bakal menerajui PDRM sebaik sahaja Abdul Hamid menamatkan kontraknya sebagai Ketua Polis Negara, Mei ini.
Selain beliau, nama yang turut disebut-sebut iaitu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya antara calon yang layak memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Acryl Sani.
Dalam pada itu, Pada 25 Mac lalu, Abdul Hamid turut memberi bayangkan kepada pihak media, timbalannya itu sebagai penggantinya.
Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib pada 4 Mei 2019.
Pada 2015, Abdul Hamid menjadi perhatian apabila membuat pendedahan mengenai pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain mendesak siasatan terus ketika menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.
Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada Kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa republik itu melumpuhkan kegiatan keganasan Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas Daesh. – UTUSAN ONLINE








