fbpx

23 Oktober 2021, 1:22 pm

  TERKINI

Dua pengawal mendakwa dibelasah majikan kerana berpuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Hanya kerana berpuasa, dua pengawal keselamatan mendakwa telah ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, kedua-dua mangsa mendakwa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, di sini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tidak terhenti di situ, kedua-dua mangsa kemudian telah mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, Selangor sebelum dipukul dengan sebatang rotan.

“Apabila sampai di rumah suspek, kedua-dua mereka mendakwa telah dipukul dengan rotan dan diacukan pistol.

“Kedua-dua mangsa mengalami lebam pada bahagian belakang badan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Zainal, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa terbabit bekerja di sebuah syarikat dan dilantik sebagai pengawal peribadi kepada suspek.

Kata beliau, kedua-dua mereka sudah berkerja dengan suspek selama tiga hingga tujuh tahun lalu dan punca kejadian dipercayai akibat suspek tidak suka mereka berpuasa pada bulan Ramadan dan memaksa mereka untuk tidak berpuasa.

“Suspek juga telah merampas sepucuk pistol jenis Glock milik seorang daripada mangsa dan mengacukannya ke arah mangsa sambil membuat ugutan bunuh,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal memberitahu, rentetan itu, seorang ahli perniagaan sudah ditahan sebentar tadi.

“Pada masa ini, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama atas melakukan ugutan jenayah,” jelasnya-UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI