933 ekor babi mati dan dilupuskan akibat demam babi afrika - Utusan Malaysia

933 ekor babi mati dan dilupuskan akibat demam babi afrika

JEFFREY KITINGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak 535 ekor babi mati dan 398 ekor dilupuskan di Sabah akibat penularan virus demam babi afrika (ASF) sejak wabak itu diisytiharkan di Pitas pada 23 Februari.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, setakat 18 April 169 babi hutan liar disahkan positif virus ASF.

Beliau berkata, sehingga kini 10 daerah terjejas disebabkan penularan virus ASF dan lapan daerah diisytiharkan kawasan wabak iaitu Pitas, Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kota Marudu, Sandakan, Telupid dan Tongod.

Nabawan adalah daerah baharu yang dikesan mencatatkan satu kes jangkitan virus ASF oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Jabatan ini turut menjalankan 234 kempen kesedaran di 14 daerah bagi mendidik orang ramai mengenai virus ASF ini serta memberitahu tentang usaha kerajaan bagi memastikan virus ini tidak merebak ke daerah lain.

“Walaupun Sandakan diisytiharkan sebagai kawasan wabak namun ia tidak merebak ke kawasan yang menjadi pengeluar produk babi di daerah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, JPV turut melaksanakan peraturan baharu bagi melindungi ternakan babi komersil termasuk mengeluarkan permit khas bagi membenarkan JPV memindahkan ternakan dan produk babi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mengawal ASF, mana-mana premis menjual produk babi yang dijangkiti virus ASF akan ditutup selama sehari bagi kerja pembersihan dan semua produk yang dijual akan diperiksa untuk memastikan ianya bebas virus ASF.

Ladang ternakan babi yang didapati menjadi punca produk itu dijangkiti juga akan diletakkan di bawah kuarantin selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

“Sekali lagi saya ingin memberi jaminan kepada pelanggan, biarpun virus ini menyebabkan kematian terhadap babi namun, ia tidak berbahaya kepada manusia,” katanya.

Selain Sandakan, daerah yang menternak babi secara komersil masih bebas jangkitan virus ASF iaitu di Tawau, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya