KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pempengaruh, Syada Amzah, berpandangan, hubungan persahabatan dalam kalangan pempengaruh tidak seharusnya dipaksa dan perlu berlaku secara semula jadi tanpa meletakkan sebarang harapan terhadap individu lain.
Menurut Syada, sesiapa sahaja berhak memilih dengan siapa mereka ingin berkawan dan perkara itu perlu dihormati tanpa menimbulkan perasaan kecewa atau tersisih.
“Dalam dunia pempengaruh, saya rasa perkara itu sebenarnya mudah sahaja. Jika kita mahu berkawan dengan seseorang, kita boleh mendekatinya dengan baik dan penuh hormat.
”Jika dia mahu berkawan, maka teruskan hubungan itu. Namun, jika sebaliknya berlaku, kita hanya perlu meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa perlu memikirkan perkara tersebut secara berlebihan.
“Malah, jika pernah cuba mendekati seseorang tetapi layanan yang diterima kurang mesra, tidak perlulah kita berusaha untuk menegur lagi setiap kali bertemu di acara tertentu. Hormati sahaja pendirian masing-masing dan teruskan dengan urusan sendiri,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, Syada menjelaskan bahawa dia mempunyai ramai kenalan dalam industri yang sering ditemui dan berbual mesra di pelbagai acara, walaupun tidak pernah meluangkan masa bersama di luar urusan kerja.
“Saya mempunyai ramai rakan dalam kalangan pempengaruh dan penggiat industri yang saya temui di acara-acara tertentu. Kami sering berbual dan bertanya khabar apabila bertemu, namun tidak pernah keluar atau meluangkan masa bersama di luar program tersebut.
“Bagi saya, mereka tetap boleh dianggap sebagai rakan. Persahabatan tidak semestinya diukur berdasarkan kekerapan berjumpa atau melepak bersama.
“Jika seseorang mahu berkawan, maka berkawanlah. Jika tidak, kita juga tidak kehilangan apa-apa dan tidak perlu berasa rugi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Syada berkata individu yang terlalu memikirkan penerimaan orang lain dalam industri hiburan dan media sosial berisiko berasa rendah diri serta merasakan diri mereka tidak diterima dalam kelompok tertentu.
“Terutamanya apabila berada dalam industri ini, jika kita sentiasa memandang ke atas dan membandingkan diri dengan orang lain, kita akan mudah merasakan diri sebagai orang luar atau tidak sesuai untuk berada dalam kelompok tertentu.
“Perasaan seperti itu hanya akan membebankan diri sendiri. Sebaliknya, kita perlu yakin dengan nilai diri dan memberi tumpuan kepada perjalanan masing-masing tanpa terlalu memikirkan persepsi orang lain,” katanya.
Pada masa sama, Syada turut menepis tanggapan bahawa semua pempengaruh bersikap sombong seperti yang sering diperkatakan segelintir pihak.
“Saya tahu ramai yang sering mendengar cerita mengenai pempengaruh yang dikatakan sombong atau sukar didekati. Namun, jangan risau kerana masih ramai lagi individu dalam industri ini yang sangat mesra, baik dan sentiasa memberi sokongan kepada rakan-rakan lain secara senyap tanpa mengharapkan sebarang penghargaan.
“Perkara paling penting ialah jangan sesekali meletakkan harapan terhadap sesiapa. Apabila kita tidak mengharapkan apa-apa daripada orang lain, kita akan lebih tenang dan mampu menghargai setiap hubungan yang terjalin dengan lebih ikhlas,” katanya.










