KUALA LUMPUR: Mikro MSC Berhad memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik dengan Hong Kong Cospower Technology Co., Ltd. (HKCT) bagi meneroka pembangunan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berskala utiliti besar di Malaysia.
Kerjasama itu dilihat sejajar dengan agenda peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dijangka membuka peluang pelaburan bernilai antara RM1.2 trilion hingga RM1.3 trilion menjelang 2050.
Kerjasama berkenaan turut menyasarkan peluang di bawah NETR menerusi program Malaysia Battery Energy Storage System (MyBeST), iaitu pelaksanaan pertama bidaan terbuka kompetitif negara bagi projek penyimpanan tenaga berskala grid yang dikawal selia Suruhanjaya Tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif Mikro MSC Berhad, Syed Mohd Hafiz Syed Mohd berkata, Mikro MSC berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan peluang yang diwujudkan menerusi NETR.
“Kami berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang besar yang dibawa oleh NETR terhadap masa depan tenaga negara serta pertumbuhan ekonomi mampan jangka panjang.
“Melalui kerjasama dengan HKCT, kami memperoleh rakan strategik bertaraf dunia dalam teknologi penyimpanan tenaga bateri yang menawarkan penyelesaian maju dan kos efektif selaras aspirasi peralihan tenaga Malaysia.
“Kerjasama ini meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk memainkan peranan penting dalam program BESS nasional,” katanya semasa Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Mikro MSC dan HKCT bagi Memajukan Peralihan Tenaga Malaysia.
Perjanjian itu turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Dalam pada itu, kerjasama itu menandakan langkah penting Mikro MSC dalam memperluaskan penglibatannya dalam sektor penyimpanan tenaga yang berkembang pesat selaras usaha negara mempercepatkan peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih berdaya tahan dan mampan.
Di bawah kerjasama selama dua tahun itu, kedua-dua pihak akan mengenal pasti, membangunkan, meneroka, merunding dan melaksanakan projek BESS di seluruh negara.
Sementara itu, Naib Presiden HKCT, William Wang berkata, Malaysia merupakan antara pasaran yang paling berpotensi untuk pertumbuhan penyimpanan tenaga berskala grid di Asia Tenggara.
“Pemilihan Mikro MSC sebagai rakan eksklusif di Malaysia dibuat berdasarkan pengalaman teknikal syarikat itu, kedudukan pasaran yang kukuh serta rekod prestasi dalam menyokong projek infrastruktur tenaga berskala besar.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Mikro MSC bagi menyokong pembangunan sektor penyimpanan tenaga negara dan membina kehadiran jangka panjang dalam pasaran strategik ini,” ujarnya.
Dilancarkan pada November 2024, MyBeST menyasarkan kapasiti bateri sebanyak 400 megawatt (MW) dan kapasiti penyimpanan tenaga sebanyak 1,600 megawatt-jam (MWh) menerusi empat projek di Semenanjung Malaysia.
Ia bagi menyokong sasaran negara mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050. – UTUSAN










