EBITDA Carsome naik kepada RM29 juta pada suku pertama

EBITDA Carsome naik kepada RM29 juta pada suku pertama

CARSOME Automall di Petaling Jaya, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Carsome Group Inc. (Carsome) mencatatkan peningkatan 85 peratus pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada kira-kira RM29 juta (AS$7.3 juta) bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.

Bagi tempoh sama, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara itu merekodkan  lonjakan keuntungan kasar sebanyak 25 peratus kepada RM158 juta (AS$40 juta), manakala keuntungan kasar setiap unit (GPU) berkembang 30 peratus kepada kira-kira RM5,300 (AS$1,320) bagi setiap unit.

Kumpulan mencatatkan GPU pada paras suku tahunan tertinggi sejak penubuhannya, disokong oleh kemajuan berterusan dalam tiga keutamaan strategik utama iaitu meningkatkan jumlah transaksi, memperkukuh ekonomi setiap unit dan menunjukkan keupayaan memanfaatkan skala operasi.

Peningkatan ekonomi setiap unit itu didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen runcit, kadar penembusan pembiayaan yang lebih tinggi serta peningkatan kecekapan berterusan dalam operasi baik pulih dan pengurusan inventori Carsome. 

Suku pertama 2026 juga menandakan suku kelima berturut-turut syarikat mencatatkan pertumbuhan GPU tahun ke tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Eric Cheng berkata, perniagaan syarikat kini mula menunjukkan tahap konsistensi yang lebih tinggi dalam bagaimana pertumbuhan, keuntungan dan ekonomi setiap unit saling mengukuhkan antara satu sama lain di pasaran terasnya.

“Persekitaran serantau masih tidak sekata, namun platform bersepadu yang kami bina kini menghasilkan ekonomi setiap unit yang konsisten dan peluang pertumbuhan di hadapan masih jauh lebih besar berbanding skala operasi semasa kami,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Carsome menjangkakan pertumbuhan berurutan dalam jumlah transaksi dan EBITDA pada suku kedua 2026, didorong oleh permintaan runcit yang berterusan, sumbangan pembiayaan yang lebih tinggi serta peningkatan kecekapan operasi menerusi platform bersepadunya.

Katanya, kumpulan percaya penambahbaikan tersebut akan menyokong trajektori keuntungan yang lebih kukuh untuk beberapa suku akan datang.

“Kami menjangkakan kelebihan skala operasi dalam model perniagaan kami akan terus berkembang apabila kami memperluaskan penggunaan infrastruktur sedia ada.

“Tumpuan syarikat kekal kepada pelaksanaan strategi yang terbukti berkesan, pelaburan dalam platform serta pengukuhan keuntungan ketika kami terus berkembang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN