1,215 sindiket curi kenderaan ditahan - Utusan Malaysia

1,215 sindiket curi kenderaan ditahan

Suami isteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 1,215 anggota sindiket curi kenderaan ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2016 mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Daripada jumlah itu, seramai 753 dan 442 individu masing-masing terbabit mencuri motosikal dan kereta manakala bakinya membabitkan lain-lain kenderaan.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua individu itu tidak termasuk ratusan individu lain didakwa di mahkamah atas kesalahan sama.

“Jenayah curi kenderaan ini sentiasa berlaku dan polis akan terus mengadakan kempen serta mendidik masyarakat supaya kurangkan ruang dan peluang untuk berlakunya aktiviti jenayah seperti itu.

“Antara punca berlakunya jenayah ini kerana sikap ambil mudah segelintir masyarakat terhadap aspek keselamatan termasuk meletak kenderaan di tempat sunyi dan tidak mempunyai alat penggera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan PDRM-Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (VTREC) di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Turut hadir sama, Koordinator VTREC, Mas Tina Abdul Hamid.

Dev berkata, mengikut rekod sebanyak 21,578 kes kecurian kenderaan dilaporkan tahun lalu, berbanding 30,868 pada 2019.

“Statistik tahun lalu itu menunjukkan penurunan kes sebanyak 30 peratus. Melihat kepada statistik itu, saya percaya penurunan kes ini tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama, kerjasama serta sokongan padu semua pihak,” jelasnya.

Sementara itu Mas Tina berkata, kajian pihaknya pada tahun lalu mendapati sebuah kenderaan dicuri secara purata setiap satu jam 15 minit di negara ini.

“Berdasarkan kajian, 20 kenderaan dicuri setiap hari pada tahun lalu, namun jumlah itu menurun berbanding tahun sebelumnya dengan kerjasama erat VTREC, PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya