Tujuh hari tempoh pemadaman kebakaran hutan simpan - Utusan Malaysia

Tujuh hari tempoh pemadaman kebakaran hutan simpan

HELIKOPTER Agusta AW189 digunakan untuk menggugurkan water bombing di kawasan tumpuan kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat, Selangor hari ini. UTUSAN/NORHAYATI YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menyasarkan tempoh tujuh hari untuk memadamkan kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan yang terbakar sejak Isnin lalu.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, kawasan yang terbakar membabitkan seluas kira-kira 40.46 hektar dan tempoh itu cukup apabila operasi pemadaman dibantu Unit Udara JBPM menggunakan helikopter jenis Agusta AW189.

Menurutnya, operasi bermula pukul 11 pagi itu dan helikopter tersebut telah menggugurkan 1,200 liter air di kawasan kebakaran yang mengakibatkan api di dua kompartmen iaitu 13 dan 14 hampir dipadamkan manakala kompartmen 12 berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Sebelum ini, kita mendapat bantuan daripada pesawat bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Sebanyak 43 sortie perjalanan penugasan untuk menjatuhkan ‘water bombing’ dengan kapasiti air 258,000 liter digunakan selama dua hari dan tindakan tersebut berjaya menyekat api merebak masuk ke kawasan hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi pemadaman kebakaran tanah gambut Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan hari ini yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Udara JBPM, Nazili Mahmood.

Kelmarin, operasi pemadaman bersepadu digerakkan bermula semalam dan menjangkakan tempoh kebakaran dipadamkan kira-kira empat hingga enam minggu.

Susulan kebakaran itu, empat kawasan di negeri ini khususnya di daerah ini mencatat Indeks Pencemar Udara (IPU) paras tidak sihat.

Mengulas lanjut, Nazili berkata, penggunaan helikopter Agusta AW189 sangat berkesan terutama bagi memadamkan kebakaran hutan dengan tumpuan diberikan untuk memadam kepala menggunakan teknik secara terus (direct), serangan (attack) dan semburan.

Ujarnya, selain menggunakan helikopter, unit udara turut menggunakan dron bagi mengesan jumlah dan kedalaman api dalam tanah gambut menggunakan infrared.

Dalam perkembangan berasingan, Norazam berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 1,689 pegawai dan anggotanya dilindungi dengan vaksin bagi mencegah Covid-19 bagi fasa pertama.

Jelasnya, buat masa ini pihaknya dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan bahawa hanya 170 orang anggota sahaja akan menerima suntikan vaksin untuk peringkat awal.

“Namun, kita sedang berusaha untuk meminta agar semua pegawai dan anggotanya terutama mereka yang terlibat dalam operasi diberi suntikan pada peringkat awal.

“Di JBPM Selangor, kita telah berusaha untuk meminta semua anggota kita supaya disuntik kerana sebagai petugas barisan hadapan yang selalu berhadapan dengan mangsa yang tidak pasti telah divaksin atau tidak, jadi kita perlu dilindungi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya