KUALA LUMPUR: Sebanyak 122,00 buku terjual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 dengan jumlah keseluruhan lebih RM600,000.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengumuman baucar buku pada Khamis lalu menunjukkan kesan positif kepada PBAKL 2024 apabila ia menjadi pemangkin minat membaca buku dalam kalangan pelajar terutamanya.
Menurut beliau, buku pendidikan adalah antara kategori buku yang tertinggi dibeli menggunakan baucar tersebut.
“Secara keseluruhan pembelian setakat ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik dan kita harap ibu bapa terus memastikan baucar buku itu benar-benar ditebus untuk meningkatkan pembacaan serta minat terhadap buku.
“Setakat ini 122,000 buku sudah dibeli dengan melibatkan pembelian sehingga lebih RM600,000 dan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) sahaja lebih kurang 56,000 baucar buku ditebus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas
Majlis Penutupan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan baucar pembelian buku sebanyak RM100 bagi mengalakkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak dan belia.
Untuk rekod, tempoh sah penebusan dan penggunaan baucar buku untuk murid atau pelajar adalah dari 31 Mei hingga 31 Disember 2024.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneruskan inisiatif baucar buku tersebut pada tahun hadapan.
“Kita akan lihat dulu tahun ini sambutanKita akan lihat dahulu sambutan tahun ini dan kos yang terlibat. Pastinya ini antara inisiatif yang baik untuk terus meningkatkan minat rakyat Malaysia kepada membaca.
“Saya tidak fikir ia adalah satu inisiatif yang patut dihentikan tetapi sepatutnya dilihat bagaimana kita boleh pertingkatkan baucar ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran PBAKL 2024 selama 10 hari mencatatkan jumlah pengunjung yang memberansangkan iaitu seramai 1.8 juta orang.
“Peningkatan pengunjung dalam tempoh cuti sekolah ini memberi makna kepada PBAKL khususnya rakyat Malaysia.
“Saya dimaklumkan 80 peratus pengujung adalah anak muda dan ini menunjukkan potensi yang cukup baik (iaitu) anak muda kita memang berminat dengan buku dan budaya ilmu,” katanya.- UTUSAN










