KLUANG: Seorang wanita maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 76, Jalan Batu Pahat-Mersing petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul 3.45 petang itu menyebabkan Zuraidah Sarahudar, 52, yang duduk di kerusi penumpang hadapan kereta Honda Civic cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suaminya yang memandu kereta berkenaan serta anaknya berusia 12 tahun hanya mengalami kecederaan, manakala seorang lagi anaknya berumur 14 tahun tidak cedera.
Turut cedera pemandu serta tiga penumpang kereta Proton Exora, manakala pemandu kereta Perodua Alza tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kereta Honda Civic dipandu Sabtu@Jamian A. Samad, 55, datang dari arah Kluang ke Mersing, manakala kereta Proton Exora dipandu Abu Bakar Samah, 55, serta kereta Perodua Alza dipandu Azlina Azizan, 33, datang dari arah bertentangan.
“Sebaik sampai di lokasi kejadian, kereta Honda Civic itu dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan kereta Proton Exora menyebabkannya berlanggar di bahagian kanan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza yang berada di bahagian belakang kereta Proton Exora,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Bahrin, kereta Proton Exora yang mengelak ke kiri jalan menyebabkannya terbabas lalu melanggar sebatang pokok.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk menerima rawatan, manakala mangsa yang meninggal dunia turut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN










