IPOH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung bantahan terhadap pembinaan Empangan Hidroelektrik Sungai Nenggiri di Gua Musang, Kelantan.
Ia susulan bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada badan hak asasi manusia itu yang mendakwa projek tersebut bakal memusnahkan warisan masyarakat Orang Asli.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan itu nanti memberi pencerahan berhubung projek tersebut serta kepentingannya kepada negara.
Menurut beliau, pembinaan Empangan Hidroelektrik Sungai Nenggiri sebenarnya dirancang sejak lapan tahun lalu dan hanya menerima kelulusan pembinaan tahun ini.
“Salah satu komponen yang diberikan perhatian dalam projek ini ialah berhubung masyarakat Orang Asli di kawasan yang terlibat
“Biarlah pihak TNB berbincang dengan Suhakam serta turut melibatkan pihak-pihak berkepentingan lain termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli.
“Ia melibatkan perkara yang luas dan terperinci seperti keluasan kawasan yang terlibat, berapa buah penempatan serta hal-hal lain,” katanya kepada pemberita ketika pada program penyampaian bantuan persekolahan Ceria Ke Sekolah TNB Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.
Terdahulu, pada program tersebut, Mahdzir menyampaikan sumbangan berjumlah RM380,000 kepada Saarani bagi bantuan pendidikan kepada 3,800 pelajar terpilih daripada keluarga berpendapatan rendah. – UTUSAN ONLINE










