Tiada kilang ‘halal’ terlepas jika langgar peraturan - Utusan Malaysia

Tiada kilang ‘halal’ terlepas jika langgar peraturan

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri memberi peringatan kepada pemilik kilang ‘halal’ supaya terus mematuhi peraturan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiada antara mereka akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya melakukan pencemaran sumber air seperti sungai dan loji rawatan.

Kata beliau, undang-undang tegas seperti penjara mandatori menanti pihak yang melakukan pencemaran sumber sungai hingga menyebabkan henti tugas di loji rawatan air mentah.

“Sebelum ini, pencemar sumber air dikenakan denda sebagai pilihan tetapi selepas Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dipinda, penjara mandatori dikenakan.

“Selain itu, kita mewujudkan pasukan rondaan LUAS yang ditambah sebanyak 20 anggota bagi mengawasi sebarang pembuangan sisa berjadual dan tidak berjadual di semua kilang tidak kira halal atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kilang-kilang berdaftar khususnya dalam rawatan sisa efluen menjadi punca kebanyakan kejadian pencemaran sungai di negeri ini sekali gus menolak tanggapan ia disebabkan sepenuhnya oleh kilang haram.

Dalam tempoh dua tahun lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan sebanyak 246 kompaun membabitkan nilai kira-kira RM492,000 kepada pemilik premis dan kilang berlesen di negeri ini.

Berhubung proses pemutihan kilang haram, Amirudin berkata, sebanyak lapan kilang yang berpotensi mencemar sumber air telah dirobohkan di bawah Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Tindakan terhadap kilang halal atau haram tetap diteruskan dari masa ke semasa.

“Kilang-kilang di sepanjang Sungai Langat di Semenyih turut dipantau kerana berpotensi menyebabkan pencemaran sumber air,”katanya.

Tambahnya, operasi dron yang sepatutnya dilaksana November tahun lalu, baru sahaja dilancarkan awal tahun ini bagi memantau pembuangan efluen oleh semua kilang yang berada di sepanjang sungai.

“Hasilnya, sembilan pencemaran sungai dielakkan sebelum menyebabkan henti tugas di loji rawatan air dan efluen sampai ke muka sauk,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN