PUTRAJAYA: Bimbang dengan situasi tidak menentu di Myanmar, seorang rakyat Malaysia membuat keputusan pulang ke negara ini pada 2 Mac lalu demi keselamatannya.

Memberitahu kepada Utusan Malaysia, Ahmad Sukeri Ahmad, 42, berkata, tindakan itu dibuat selepas melihat semakin banyak protes jalanan dilakukan setiap masa dengan provokasi pihak tentera menembak mati sesuka hati mana-mana individu yang dipercayai membuat ancaman terhadap mereka.
Sehingga awal bulan ini, lebih 60 orang ditembak mati dengan lebih 25 orang kehilangan nyawa hanya berlaku di tempat tinggalnya di Downtown, Yangon.
“Saya mendengar sendiri bunyi tembakan. Puak tentera menembak orang yang membuat protes bagi tujuan meleraikan perhimpunan. Bukan setakat menggunakan meriam air dan gas pemedih mata, mereka bertindak menggunakan peluru hidup dan menembak sesuka hati.
“Tindakan provokasi bukan dibuat oleh peserta perhimpunan tetapi dilakukan oleh orang upahan Junta yang sengaja buat hal di tengah-tengah perhimpunan dengan mengeluarkan senjata tajam dan bertindak tikam orang.
“Provokasi itu sengaja dibuat untuk buat orang marah, bila orang memberontak, jadi senang mereka nak kawal dengan alasan ada pemberontakan,” katanya di sini semalam.
Ahmad Sukeri berkata, dia percaya ramai lagi rakyat Malaysia akan membuat keputusan meninggalkan Myanmar dan pulang ke negara ini sebelum situasi di sana lebih buruk demi keselamatan.
Apatah lagi katanya, kebanyakan bank ditutup selain tindakan beberapa institusi perbankan membuat had pengeluaran wang pada setiap hari serta premis perniagaan seperti kedai dan kilang turut ditutup.
Dia yang merupakan pereka hiasan dalaman di salah sebuah syarikat arkitek berpangkalan di Kuala Lumpur berkata, projek kendaliannya di negara itu juga turut terjejas dengan kebanyakan projek pembinaan terhenti.
Berikutan kepulangannya ke Kuala Lumpur, sumber pendapatannya bakal mengalami kemerosotan sehingga 50 peratus, namun perkara itu tidak menjadi kepentingan utama dirinya buat masa ini melainkan keselamatan diri.
“Pihak Kedutaan Malaysia di sana sentiasa mengambil berat dan mengemas kini perkembangan kepada rakyat dengan memberikan nasihat agar tidak terlibat dengan sebarang perhimpunan atau hanya tinggal di dalam rumah jika tidak ada keperluan di luar.
“Bagaimanapun, mana-mana rakyat yang mahu pulang, pihak kedutaan tidak menghalang walaupun situasi di sana dikatakan masih terkawal selagi tidak berlaku rusuhan besar-besaran sebagaimana terjadi seperti Arab Spring,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.
Protes di Myanmar berlaku sejak awal Februari lalu apabila tentera menggulingkan dan menahan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, sehingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran setiap hari. – UTUSAN ONLINE










