Taktik sembunyi rokok seludup dalam tandas bergerak dibongkar - Utusan Malaysia

Taktik sembunyi rokok seludup dalam tandas bergerak dibongkar

LORI yang berfungsi sebagai tandas bergerak menjadi tempat menyembunyikan rokok seludup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa di Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Taktik menyembunyikan sebanyak 184,200 batang rokok putih dan 32,960 batang rokok kretek dalam sebuah lori yang berfungsi sebagai tandas bergerak terbongkar setelah diserbu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Johor, di Kulai Ahad lalu.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, dalam kejadian pada pukul 11.50 malam itu, pihaknya merampas rokok terbabit yang dianggarkan bernilai RM39,748 dengan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM147,300.

Beliau berkata, anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai JKDM negeri menyerbu sebuah premis yang berkunci dan tidak berpenghuni di kawasan tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi menjumpai sejumlah rokok putih dan rokok kretek pelbagai jenama yang dipercayai tidak mempunyai kelulusan Kastam disembunyikan di dalam lori lima tan berwarna putih yang diubah suai menjadi tandas bergerak.

“Premis ini dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan rokok yang diseludup dari negara jiran sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Rokok ini disembunyikan di dalam lori yang berfungsi sebagai tandas bergerak dan diedarkan dengan menggunakan kenderaan yang sama dengan tujuan mengelak daripada dikesan oleh agensi penguatkuasaan dan mengaburi pandangan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sazali berkata, usaha mengesan pemilik premis dan lori yang digunakan dalam operasi itu sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barang-barang larangan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” katanya.

Jelasnya, penyeludupan itu bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya