fbpx

Suami tembak isteri berdepan hukuman gantung, dipenjara miliki senapang

MOHD. Hanafi Patahur Rahim didakwa membunuh isterinya di Mahkamah Majistret serta mengaku salah memiliki senapang di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KOTA TINGGI: Pemandu jengkaut didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Taman Sri Saujana, pada awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd. Hanafi Patahur Rahim, 43, hanya menyatakan faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi kes dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hanafi didakwa membunuh isterinya yang berusia 38 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, di sini, pada pukul 3.30 pagi, 1 Mac lalu. 

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mahkamah menetapkan 18 April ini sebagai tarikh sebutan semula bagi menunggu laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, Mohd. Hanafi dikenakan hukuman penjara selama 20 tahun selepas mengaku salah atas empat pertuduhan memiliki dua laras senapang serta 64 butir peluru pelbagai jenama tanpa permit.

Hakim Zahilah Mohammad Yusof bagaimanapun mengarahkan hukuman ke atas tertuduh dijalankan secara serentak bermula tarikh ditangkap pada 1 Mac lalu.

Hukuman penjara keseluruhan adalah selama enam tahun.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, lelaki itu didakwa memiliki selaras senapang tanpa jenama dan selaras senapang jenis Canon Super Model 737 CAL 177 serta 64 butir peluru pelbagai jenis dan jenama.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di dua buah rumah iaitu di Ladang Pasir Panjang dan Taman Sri Saujana, Kota Tinggi pada 11.30 pagi hingga 9 malam, 1 Mac lalu.

Mohd. Hanafi dituduh mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api 1960 (206) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, jiran lelaki yang juga rakan suspek berusia 32 tahun yang turut ditahan reman sebelum ini dibebaskan dengan bon mahkamah. -UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN