SOP projek pembinaan lebuh raya perlu dikaji - Utusan Malaysia

SOP projek pembinaan lebuh raya perlu dikaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prosedur operasi standard (SOP) projek pembinaan lebuh raya yang berhampiran kawasan laluan orang ramai perlu dikaji semula khususnya membabitkan antara kedudukan jarak struktur pembinaan dan laluan jalan raya.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Dr. Mohd. Irwan Juki berkata, buat masa kini jarak terlalu hampir antara projek pembinaan dan laluan orang awam dan dilihat amat membahayakan sekali gus tidak sesuai bagi kegunaan laluan trafik pada setiap hari.

Katanya, beberapa kejadian yang terjadi sejak kebelakangan ini dilihat terlalu rapat apabila kerja-kerja pembinaan pada kedudukan tidak jauh dengan pergerakan harian orang ramai.

“Namun sebelum perancangan kerja-kerja pembinaan lebuh raya dilakukan, pihak kontraktor perlu terlebih dahulu melihat laluan trafik dan tapak struktur pembinaan sebelum melakukan lencongan agar keselamatan pengguna dan pekerja pembinaan lebih terjamin.

“Jika perkara ini diambil kira, jangkaan kemalangan di lokasi pembinaan lebuh raya khususnya membabitkan orang awam lebih rendah jika dibanding membabitkan di dalam kawasan pembinaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, dua pekerja kilang meninggal dunia dalam kejadian insiden perancah besi dalam pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang runtuh di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Pada September tahun lalu, seorang wanita nyaris maut, selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya sama terjatuh menghempap kereta yang sedang dipandunya di kawasan sama.

Dalam pada itu Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kecuaian menjaga aspek keselamatan projek pembinaan lebuh raya merupakan antara faktor kejadian kemalangan yang sering terjadi khususnya melibatkan pengguna jalan raya.

Katanya, selain itu pengabaian aspek langkah keselamatan, kegagalan mematuhi SOP dan kegagalan pematuhan soal keselamatan juga menjadi punca lain kemalangan berlaku di kawasan projek pembinaan lebuh raya.

“Perkara ini itu sering diabaikan khususnya dalam kalangan pihak kontraktor pembinaan lebuh raya dan ia sering berlaku di sekitar Lembah Klang.

“Malah kontraktor projek pembinaan lebuh raya perlu bertanggungjawab dengan memastikan soal keselamatan dititikberatkan di samping memasang papan tanda sebelum laluan pembinaan dan penghadang sekitar kawasan sekitarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya