PETALING JAYA: Penggunaan sisa air dirawat bakal dijadikan sebagai sumber kedua di negara ini bagi menyelesaikan masalah bekalan air terutama pada musim kemarau.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehubungan itu kerjasama dua pihak iaitu Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan diwujudkan untuk pembangunan projek penggunaan semula air sisa dirawat.
Katanya, menerusi kerjasama ia akan membuka lembaran baharu dalam industri air negara yang dilihat berpotensi menjana ekonomi negara.
“Kerjasama ini menjadi tonggak penting melengkapkan usaha dan penyelesaian menghadapi masalah kekurangan air khususnya pada musim kemarau.
“ini kerana pengurusan air secara lestari amat mencabar pada waktu ini demi memastikan permintaan air bersih untuk rakyat dapat dipenuhi sepanjang masa,” katanya dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Air Selangor dan IWK bagi Pembangunan Air Pulih Guna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hai ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, dua lagi loji rawatan air pulih berskala besar bakal dibina di Seksyen 23 Shah Alam yang mampu menghasilkan 40 juta liter air sehari dan sebuah lagi di Pantai Dalam di sini, dengan kapasiti menyediakan 100 juta liter air pulih guna sehari.
Katanya, bekalan air pulih guna akan dibekalkan melalui paip khas dan eksklusif terus ke premis perniagaan.
“Loji IWK menghasilkan kira-kira 5,579 juta liter sehari efluen ( sisa buangan) terawat yang menepati piawaian ditetapkan sebelum disalurkan ke sistem saliran atau perairan.
“IWK menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan dalam penghasilan biproduk sisa kumbahan manakala kerajaan sentiasa menyokong usaha sebegini kerana sudah melihat hasil serta potensi besar dalam penggunaan semula efluen,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










