Sidang DUN, Perak rujuk Pejabat Peguam Negara - Utusan Malaysia

Sidang DUN, Perak rujuk Pejabat Peguam Negara

MUHAMMAD ZAHIR ABDUL KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Jun ini akan diputuskan dalam masa terdekat tertakluk kepada keputusan Pejabat Peguam Negara.

Kali terakhir Sidang DUN diadakan ialah pada Disember tahun lalu sebelum tertangguh berikutan kemelut pelantikan Menteri Besar ketika itu.

Speaker DUN, Datuk Muhammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya telah meminta Penasihat Undang-undang Negeri agar merujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan mendengar pandang dan membuat pertimbangan mengenai perkara itu sebelum berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

“Kita juga menerima banyak cadangan sekiranya Sidang DUN tidak diadakan antaranya mengadakan satu perjumpaan dengan ahli-ahli Dewan.

“Ia satu amalan yang baik kerana membuka ruang kepada ahli Dewan untuk bertanya soalan dan juga bagi pihak kerajaan untuk memberikan jawapan. Kaedah ini dilihat baik kerana masalah dan isu-isu berkaitan rakyat turut dapat kita atasi.

“Namun begitu, ia tertakluk kepada pandangan undang-undang daripada Pejabat Peguam Negara dan Penasihat Undang-undang Negeri ,” katanya.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Terdahulu, Muhammad Zahir merasmikan Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh di sini hari ini.

Seminar berkenaan anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Junior Chamber International (JCI) Ipoh yang dihadiri kira-kira 250 peserta.

Hadir sama ialah Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin; Penasihat Projek, Dr. Carrine Teoh dan President Junior Chamber International (JCI) Ipoh, Carson Chong.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya