Saman demi keselamatan penjaja, pengguna jalan raya - Utusan Malaysia

Saman demi keselamatan penjaja, pengguna jalan raya

SHAFIEN Mamat menyampaikan surat penghargaan kepada petugas media dalam Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 Tahun 2021 Peringkat Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini. -UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis tidak bercadang mempertimbangkan rayuan para penjaja jalanan supaya diberi kelonggaran berniaga di persimpangan lampu isyarat di negeri ini kerana aktiviti tersebut berisiko mendatangkan bahaya.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima rungutan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal yang mengakui nyaris terlanggar penjaja jalanan itu.

Malah, katanya, ada dalam kalangan penunggang terbabit mendakwa terlibat dalam kemalangan kecil kerana tidak nampak kehadiran penjaja terbabit di celah-celah kenderaan.

“Kita sudah memberi tempoh sebulan untuk penjaja itu menjalankan perniagaan dengan kaedah lain, bukan lagi dengan cara menjaja di kawasan lampu isyarat.

“Aktiviti ini bukan sahaja berbahaya kepada pengguna jalan raya, malah, kepada penjaja itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 Tahun 2021 Peringkat Kelantan di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Shafien turut menyampaikan surat penghargaan kepada 23 petugas media cetak dan elektronik daripada pelbagai agensi.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, para penjaja jalanan masih boleh berniaga seperti biasa asalkan bukan di persimpangan lampu isyarat kerana mereka bakal berdepan tindakan saman.

Namun, katanya, beliau mengarahkan anggota bahagian trafik supaya tidak terus mengeluarkan saman, sebaliknya memberi nasihat dan amaran terlebih dahulu supaya mereka tidak terus berniaga di lampu isyarat.

“Dalam masa sama, saya berharap orang ramai supaya sama-sama mendidik para penjaja ini. Kalau polis nak ambil tindakan saman, hari-hari boleh saman, tetapi, kita juga nak mendidik mereka.

“Saya faham dalam kekangan hari ini, memang rakyat masing-masing hendak mencari duit, tapi jangan sampai membahayakan pengguna jalan raya, “ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya