PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menasihatkan rakyat Malaysia di Singapura supaya memperbaharui pasport secara dalam talian ekoran gangguan sistem dan kerosakan mesin pencetak sehingga proses itu sukar dibuat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di sana.
Sebelum ini, akhbar melaporkan rakyat Malaysia menghadapi kesukaran bagi memperbaharui pasport ekoran kesesakan sistem dan barisan yang panjang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, selain itu, jumlah permohonan pasport yang meningkat secara mendadak dan pemohon datang secara ‘walk-in’ tanpa temujanji melalui Sistem Temujanji Online (STO) turut menyebabkan kesesakan di STM.
Katanya, permohonan secara dalam talian akan diproses dan pasport dicetak dalam masa empat ke lima minggu.
“JIM juga sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Luar Singapura bagi membenarkan kakitangan syarikat Datasonic Berhad memasuki negara tersebut untuk melakukan kerja-kerja pembaikan.
“Pada masa sama, keutamaan urusan memperbarui passport diberikan kepada rakyat Malaysia yang perlu melanjutkan permit kerja mereka dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, sebelum ini, rakyat Malaysia di Singapura kembali memperbaharui pasport mereka di Johor Bahru namun pintu sempadan Malaysia-Singapura masih ditutup untuk perjalanan biasa menyebabkan berlaku kesesakan di STM.
Ujarnya, selain itu, faktor pelaksanaan kuarantin wajib di Malaysia selama 10 hari dan Singapura selama 14 hari telah menyukarkan rakyat Malaysia untuk kembali membuat pembaharuan passport di cawangan-cawangan JIM lain di Malaysia.
“Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan kawalan sempadan serta peraturan kuarantin telah menyebabkan pembaharuan passport tidak dapat dilakukan seperti sebelum ini.
“Pada hari-hari biasa, pejabat JIM di Singapura mampu memproses sebanyak 100 permohonan pembaharuan pasport sehari. Sepanjang pandemik Covid-19, proses p ermohonan telah ditingkatkan sehingga 350 permohonan sehari.
“Walau bagaimanapun, sepanjang minggu ini, permohonan pembaharuan secara online telah meningkat dari sebanyak 200 sehari ke 450 sehari, kebanyakan pemohon datang tanpa membuat temujanji melalui STO,” katanya. – UTUSAN ONLINE