fbpx

16 April 2021, 10:53 pm

  TERKINI

‘Pusat khidmat pelanggan’ sindiket pelaburan diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjadikan rumah agam disewa dengan kadar RM15,000 sebulan selain menggajikan pekerja tempatan. 

Itu kegiatan sindiket penipuan pelaburan Forex dalam talian yang diserbu di Jalan Perak dekat sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam serbuan pukul 10 malam itu, pihaknya menahan 44 individu termasuk tujuh wanita berusia antara 17 hingga 41 tahun.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi sindiket dengan menggunakan sebuah premis ‘penthouse’ sebagai pusat operasi bagi aktiviti perjudian dan penipuan pelaburan secara dalam talian.

“Sindiket ini dipercayai mensasarkan pelanggan dari luar negara seperti Taiwan dan China dengan menggunakan aplikasi WeChat.

“Premis dipercayai dijadikan sebagai ‘pusat khidmat pelanggan’ sejak Ogos tahun lalu selain mengupah pekerja tempatan dengan gaji kira-kira RM2,000 sebulan dan mereka bekerja bermula pukul 12 tengah hari hingga 10 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, dalam pemeriksaan itu, kami merampas 22 komputer riba, 53 komputer, 286 telefon bimbit pelbagai jenama , satu kad sim dan satu kad akses yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti tersebut.

Ujarnya, kesemua individu ditahan dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan 18 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 4) (2021).

“Ini membabitkan kesalahan terbabit dalam aktiviti dengan kehadiran yang ramai sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Semua tangkapan dan rampasan itu dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI