Pulau Tioman makin suram - Utusan Malaysia

Pulau Tioman makin suram

KEADAAN suram di Peladang Tioman Chalet di Pulau Tioman tanpa kehadiran pelancong dan jika berterusan boleh menjejaskan operasinya kerana perlu menanggung kos operasi yang tinggi setiap bulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Sektor pelancongan di pusat peranginan di Pulau Tioman di sini sedang berdepan saat cukup suram dan sukar kesan penularan pandemik Covid-19 yang mana belum pernah terjadi sebelum ini.

Tanpa pelancong luar, sektor pelancongan di situ cukup derita kerana selama ini mereka penyumbang besar kepada pertumbuhan sektor tersebut.

Kini, derita itu kian terasa kerana tiada pelancong dibenarkan masuk ke pulau berkenaan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Bahagian Peladang Tioman Chalet, Sukeri Khamis berkata, chalet berkenaan hanya dapat bertahan pada tahun lalu dan jika situasinya berlarutan hingga tahun ini, ia akan memberi kesan kewangan yang besar.

Ini kerana katanya, mereka terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi melebihi pendapatan.

“Misalnya pada 2020, pendapatan kami hanya kira-kira RM29,000 sebulan berbanding kos operasi yang melebihi RM30,000 sebulan.

“Bagaimanpun untuk tahun ini, kami tetap meneruskan operasi dengan menumpukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kontraktor yang menjalankan kerja di Pulau Tioman,” katanya di sini semalam.

Sukeri berkata, bagi 2020, Peladang Tioman Chalet menerima seramai 5,961 pelancong dan bagi tahun ini dari Januari sehingga kini, hanya 168 orang sahaja.

“Kalau ikut kepada rekod untuk 2020 dan tahun ini sehingga bulan ini, kehadiran pelancong memang jatuh dengan mendadak. Pada 2019, kehadiran pelancong berdaftar ke sini ialah 6,900 orang.

“Ketika ini Pulau Tioman dikenakan PKPD pula, pelancong tidak dibenarkan masuk. Jadi pendapatan tiada langsung,” katanya.

Lebih 2,000 penduduk di Pulau Tioman dikenakan PKPD bermula 16 Mac lalu sehingga 29 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di pulau berkenaan.

Biarpun dilaksanakan PKPD, perkhidmatan feri di Pulau Tioman beroperasi seperti biasa berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain berkata, ianya membabitkan perkhidmatan feri dari jeti Tanjung Gemok, Rompin dan jeti Mersing, Johor. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya