PH tidak akan bawa usul tidak percaya di Parlimen - Utusan Malaysia

PH tidak akan bawa usul tidak percaya di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) tidak akan membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Parlimen bersidang ketika pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, banyak isu rakyat yang perlu diketengahkan seperti kesihatan dan pendidikan memandangkan ramai rakyat yang terkesan ketika ini.

“Usul tidak percaya bukan agenda utama sebaliknya kami mahu menyuarakan hal rakyat ketika ini.

“Di mana lagi kami nak bersuara kalau bukan di Parlimen. Kita berharap Perdana Menteri dapat menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya memanggil semua Ahli Parlimen untuk bersidang semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bicara khas Sidang Parlimen Ketika Darurat: Demi Politik Atau Rakyat’ di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Pakar Perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof yang dimoderator oleh Ismail Adnan.

Sementara itu, Noh berkata, tergantungnya Parlimen menyebabkan beberapa jawatankuasa di bawah kuasanya seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri tidak dapat berfungsi.

Menurutnya, banyak rang undang-undang akan lambat digubal sekiranya situasi terbabit berterusan.

“Saya berpendapat selepas semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara mendapat vaksin Covid-19, persidangan boleh dilakukan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Pada sesi lalu, semua telah menjalani SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan rasanya tidak ada masalah Parlimen bersidang semula,” katanya.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya