Petronas bimbing 1,000 individu pendapatan rendah - Utusan Malaysia

Petronas bimbing 1,000 individu pendapatan rendah

SESI temuduga untuk program empowerECER-MEKAR di Kelantan minggu lepas. - IHSAN PETRONAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Yayasan Petronas membantu 1,000 individu berpendapatan rendah di beberapa daerah di Pantai Timur termasuk negeri ini menerusi Program Memperkasakan Ekonomi Asas Rakyat (empowerECER-MEKAR) berasaskan bidang kerjaya diminati peserta.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, ia dibuat dengan kerjasama Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Kata beliau, di Kelantan, 500 peserta berusia 18 tahu hingga 45 tahun disenarai pendek untuk sesi temuduga yang diadakan di daerah ini dan Tanah Merah minggu lepas.

“Mereka terdiri daripada ibu atau bapa tunggal, suri rumah dan belia menganggur. Keutamaan bagaimanpun hanya diberikan kepada 400 peserta untuk mengikuti latihan kemahiran dan keusahawan selama 19 bulan.

“Ia membabitkan bidang pembuatan makanan, membaik pulih peralatan elektrik, pendawaian elektrik, membaiki motosikal, fabrikasi logam, reka bentuk pakaian, dandanan rambut, pembersihan serta urutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Che Ahmad Tarmizi berkata, empowerECER-MEKAR adalah sebahagian daripada program MEKAR yang dilancarkan tahun lalu dengan menyasarkan untuk membantu 3,400 keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.

Menurut beliau, program berkonsep serupa juga dilaksanakan di Kedah melalui kerjasama pihaknya dengan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Kami sedar usaha merapatkan jurang kemiskinan dan pengangguran memerlukan komitmen berterusan. Justeru, program ini digubal bagi memastikan pencapaian matlamat jangka panjang menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×