Petani Mada tolak SMART SBB - Utusan Malaysia

Petani Mada tolak SMART SBB

CHE ANI MAT ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lebih 95 peratus petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menolak rancangan kerajaan menyerahkan kawasan tanaman padi seluas lebih 100,000 hektar itu kepada syarikat swasta untuk Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Pengerusi Badan Bertindak Petani Mada, Che Ani Mat Zain berkata, kebanyakan petani tersebut percaya jumlah hasil dapat ditingkatkan walaupun tanpa pelaksanaan program tersebut.

“Kawasan berkeluasan 100,685 hektar itu kini telah mempunyai pengairan lengkap dan hanya perlu ditambah baik.

“Kami percaya, hasil bimbingan Mada serta pegawai berpengalaman, petani mampu meningkatkan hasil menerusi peningkatan kualiti benih padi serta pengairan lebih sempurna walaupun tanpa melibatkan syarikat swasta,” katanya di sini, hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee pada 14 Mac lalu berkata, sebanyak 30 hingga 40 peratus petani di negara ini akan menjadi perintis kepada Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dijangka bermula pada musim tanaman baharu Ogos ini.

Program tersebut merupakan satu satu inisiatif kerajaan dalam menyatukan tanah sawah melalui satu sistem pengurusan, bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai.

Mengulas lanjut Che Ani berkata, pengambil alihan industri padi dan beras oleh 11 syarikat peneraju dikatakan akan mengurangkan jumlah petani yang terlibat.

“Itu bermakna, ada kemungkinan tenaga buruh asing akan digunakan untuk menjimatkan kos. Berkemungkinan juga peranan agensi kerajaan seperti MADA akan dikurangkan secara berperingkat.

“Merujuk kepada senarai 11 syarikat itu juga, kami dapati 70 peratus pegangannya dimiliki oleh syarikat bukan Bumiputera.

“Petani merasa bimbang akan wujudnya monopoli oleh sebelah pihak sahaja ke atas semua rantaian dalam projek ini bermula daripada bernih, racun, jentera, pertanian dan pemasaran,” katanya.

Katanya lagi, timbul beberapa persoalan antaranya mengenai kebanyakan tanah pusaka terlibat yang mempunyai keluasan milikan kecil, selain nasib petani yang menyewa tanah bendang dan dikhuatiri kehilangan punca pendapatan.

“Program ini dilihat lebih menguntungkan pihak swasta dan pemberi dana sedangkan petani masih lagi di takuk lama dan akan hilang hak ke atas tanah mereka.

“Kerajaan juga seolah-olah tidak mahu lagi mengeluarkan dana dan bantuan secara terus kepada petani di mana dana dan bantuan, mungkin akan mula beralih kepada syarikat terlibat serta pelabur,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya kerajaan bercadang mahu meneruskan projek tersebut bagi mencapai sasaran Tahap Sara Diri (SSL) 90 peratus, kerajaan perlu memikirkan cara lain yang tidak melibatkan tanah petani sedia ada.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya