fbpx

26 Jun 2022, 10:28 pm

  TERKINI

Pengayuh beca Pulau Pinang derita, sudah patah semangat

PENARIK beca menunggu pelancong sehingga mereka terpaksa berteduh di dalam beca sendiri kerana tiada pelancong dari luar negeri yang melancong ke Pulau Pinang dan menggunakan perkhidmatan mereka. - UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pada waktu ini, kehidupan pengayuh beca yang merupakan pengangkutan darat tertua di Pulau Pinang bersulamkan derita akibat kekurangan pelancong yang mahu menggunakan
perkhidmatan mereka.

Ini kerana pandemik Covid-19 yang kini berlanjutan sehingga hampir setahun menambah derita lebih 80 pengayuh beca di sekitar Georgetown yang sememangnya hanya bergantung hidup mencari rezeki menggunakan tenaga mereka mengayuh beca.

Rata-rata mereka hanya sempat menikmati pendapatan sekitar RM200 hingga RM100 sehari sebagai pengayuh beca pada Disember tahun lalu selepas kerajaan membenarkan orang ramai merentas negeri.

Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd. berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Januari lalu dan kemudian diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah mematahkan semangat pengayuh-pengayuh beca untuk mencari rezeki.

“Boleh dikatakan hampir semua daripada kami hilang punca pendapatan dan kami sudah patah semangat kerana terlalu lama tidak dapat mencari rezeki.

“Ini kerana akibat PKP dan PKPB, tiada pelancong datang jadi kami memang hilang punca pendapatan,” katanya di sini semalam.

KEADAAN penarik beca di Lebuh Armenian, Georgetown. KEtiadaan pelancong menyebabkan mereka berdepan kekurangan pendapatan. – UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN

Menurutnya, pengayuh beca ada menerima bantuan daripada kerajaan negeri yang disalurkan melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM500 (one-off) dan elaun mingguan RM20.

Bagaimanapun katanya, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka yang terputus punca pendapatan.

“Sekarang mahu dapatkan RM5 atau RM10 pun susah, pelancong asing sudah setahun tidak datang ke sini.

“Kami berharap tidak lama lagi orang ramai dari negeri lain akan dibenarkan melancong kerana hanya itu yang dapat membantu kami mencari pendapatan harian,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengayuh beca, Manan Talib, 67, berkata, dia tetap menunggu pelanggan di sekitar Georgetown setiap hari dengan harapan ada yang akan menggunakan khidmatnya untuk bergerak di sekitar pusat bandar.

“Sejak Covid-19 melanda kami ada menerima bantuan daripada pelbagai pihak, namun kami tetap berharap dapat mengayuh beca semula tidak lama lagi kerana pekerjaan ini sudah sebati dengan kami,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI