ALOR SETAR: Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang dilaksanakan kerajaan diyakini mampu memulihkan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemulihan sektor itu penting memandangkan ia turut menyumbang sebanyak 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara selain 70 peratus dalam sektor pekerjaan.
“Pakej yang diumumkan sebelum ini seperti Prihatin dan Penjana adalah untuk PKS terutama mikro PKS.
“Ini adalah kerana kita lihat daripada KDNK, PKS menyumbang sebanyak 30 peratus. Lebih penting segi pekerjaan, PKS sumbang lebih 70 peratus pekerjaan dalam Malaysia
“PKS memang terkesan terutama dalam pelancongan dan peruncitan dan Pemerkasa ini fokus kepada sektor yang terkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Digital Pekan Rabu bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) di Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pemerkasa pada 17 Mac lalu.
Zafrul berkata, melalui Pemerkasa kerajaan menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta untuk fokus kepada PKS dan mikro PKS.
“Dana tambahan akan disalurkan kepada PKS melalui Tekun Nasional, BSN Mara dan SME Corp. Di sini juga kita buat pengumuman kadar faedah akan diturunkan kepada 3 peratus daripada 3.5 peratus.
“Melalui BSN had peruntukan pun dinaikkan kepada sehingga 50,000 yang menarik bayaran ansurannya hanya bermula selepas bulan keenam untuk memulihkan PKS bergerak semula,” tegasnya.
Selain itu, katanya, dalam sektor informal, Tekun Nasional akan menyediakan dana tambahan sebanyak RM60 juta dengan pembiayaan RM5,000 kepada peniaga kecil.
“Mara pula bagi PKS mikro bumiputera mengalami keadaan yang agak mencabar dan di sini kita akan membantu meneruskan perniagaan melalui nilai pembiayaan RM50,000 dengan kadar faedah tiga peratus,” jelasnya.
Menyentuh tentang pendigital Pekan Rabu, beliau berkata, peniaga akan memanfaatkan infrastruktur yang disediakan untuk mewujudkan peniagaan secara atas talian.
“Peniagaan atas talian ini meningkat dengan mendadak sekali terutama pada Mac lepas ketika PKP 1.0. Kita berharap tiada peniaga yang tertinggal untuk berniaga secara atas talian,” katanya.- UTUSAN ONLINE










