fbpx

11 April 2021, 2:25 pm

  TERKINI

Najib perlu jadi Presiden UMNO 2.0

AEMIERULRIZAKI RAMBLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dapatan kajian berhubung pilihan rakyat untuk mengangkat semula Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuktikan rakyat mengiktiraf kejayaan kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-6.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia sekali gus memberi signal bahawa rakyat khususnya ahli UMNO percaya bahawa Najib adalah mangsa fitnah dan ‘political persecution’.

Menurut beliau, kecekalan Najib mengharungi proses keadilan mahkamah yang mencabar melonjak keyakinan ahli UMNO dan rakyat bahawa Najib adalah pemimpin tulen yang diperlukan kembali untuk memimpin UMNO dan negara.

“Beberapa kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak menunjukkan Najib adalah calon Perdana Menteri paling popular, jauh meninggalkan tokoh lain. Rakyat amat merindui keberkesanan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Dengan kata lain ia adalah signal bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) gagal membela nasib rakyat, gagal mengurus ekonomi negara, gagal membawa kestabilan politik dan tidak berkesan dalam menangani pandemik Covid-19.

“Justeru tidak hairan sudah timbul pandangan akar umbi agar Najib kembali memimpin UMNO,” katanya di sini semalam.

Dalam satu kaji selidik Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM (UUM-ITS) mendedahkan Najib disifatkan masih mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan rakyat negara ini dengan responden berpandangan berdasarkan prestasinya dan merindui pemerintahan bekas Perdana Menteri itu yang banyak membantu rakyat selain memperjuangkan isu-isu rakyat ketika ini.

Menerusi kaji selidik itu, Najib memperoleh sokongan 51.5 peratus jauh meninggalkan pemimpin lain seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (14.8 peratus); Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (10.2 peratus) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar 9.6 peratus.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Aemierulrizaki Rambli berpandangan, tidak ada calon lain dalam kalangan pemimpin UMNO yang layak menjadi Presiden apatah lagi untuk memimpin negara melainkan Najib.

Katanya, walaupun beliau terpalit pelbagai isu dan fitnah, namun setiap isu tersebut belum lagi dibuktikan Najib bersalah.

Bagaimanapun, katanya, sumbangan Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden ketika ini tidak diketepikan, namun jika dilihat sepanjang tempoh kepemimpinan beliau sejak awal penggal tidak nampak sebarang usaha dan beliau langsung tidak mampu mengawal ahli-ahli MT atau pemimpin-pemimpin UMNO membuat ‘kacau’ dalam parti.

“Maka sebab itu UMNO parti berpecah-belah apabila setiap orang boleh bercakap sesuka hati dan secara terbuka di media tanpa melalui Presiden. Di situ kita sudah tahu Presiden tidak ada kekuatan langsung untuk mengawal pemimpin di bawahnya.

“Saya lebih suka melihat kepada kredibiti dan kepimpinan, kebolehan dan akal yang cerdik untuk memimpin. Jadi pada pandangan saya lebih memilih Najib untuk kembali kepada UMNO dan susun balik semua ini, jadikan UMNO dan BN kembali kuat untuk kita memerintah negara semula,” katanya.- UTUSAN ONLINE