Kerajaan perlu semak semula cukai pegangan, elak beban peniaga

Kerajaan perlu semak semula cukai pegangan, elak beban peniaga

Presiden Pertubuhan Usahawan e-Dagang Malaysia, Syed Gaddafi Syed Saifuddin, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Gamidon, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil dan Tumbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Azrul Zafri Azmi pada Sidang Media Bersama Withholding Tax (WHT) dan Cabaran Ekosistem Peniaga Digital, di sini, hari ini. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan pernigaan menggesa kerajaan untuk meneliti semula kaedah pelaksanaan cukai pegangan (WHT) yang dikenakan kepada peniaga e-dagang yang menggunakan khidmat iklan daripada platform luar negara seperti Meta dan TikTok.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, peniaga e-dagang terpaksa menanggung WHT sebanyak 10 peratus ke atas kos iklan sedangkan peniaga di luar negara tidak dikenakan kos itu.

Menurutnya, ketidakadilan itu akan memberi impak langsung terhadap kos operasi peniaga dalam talian, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami telah menerima beberapa aduan mengenai dilema yang dihadapi oleh peniaga-peniaga ini yang menyatakan kos itu semakin membebankan perniagaan mereka.

“Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil, meningkatkan risiko kerugian serta mengehadkan keupayaan peniaga untuk berkembang,” katanya dalam sidang media berkaitan WHT dan cabaran ekosistem peniaga digital di ibu negara di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, Timbalan Presiden MCCA, Azrul Zafri Azmi dan Presiden Pertubuhan Usahawan e-Dagang Malaysia (PUeDM), Syed Gaddafi Syed Saifuddin.

Dalam pada itu, Syed Gaddafi berkata, klasifikasi iklan digital sebagai ‘royalti’ telah menambah beban kepada peniaga kerana terpaksa membayar cukai keseluruhan sehingga 18 peratus termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Katanya, beban tersebut berpunca daripada gabungan SST dan WHT bagi setiap transaksi iklan digital dilihat tidak seimbang berbanding pendekatan negara jiran seperti Indonesia.

“Indonesia mengamalkan pendekatan lebih mesra perniagaan menerusi Peraturan Menteri Kewangan (PMK) yang dikemas kini secara berkala bagi melindungi ekosistem digital.

“Peniaga di negara itu juga boleh mengemukakan borang khas bersama Sijil Pemastautin daripada platform seperti Meta atau Google untuk mengurangkan kadar WHT sehingga sifar peratus secara sah.

“Kenapa usahawan Malaysia perlu membayar sehingga 18 peratus cukai sedangkan negara jiran menikmati pelepasan lebih adil? Sudah tiba masanya dasar ini dikemas kini,” katanya.

Sementara itu, Siraj Jalil turut mencadangkan supaya diadakan satu sidang meja bulat melibatkan semua pemegang taruh termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan (MoF), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melihat semula struktur percukaian dalam ekosistem digital negara.

“Sebab itu hari ini kita mendesak kerajaan supaya lebih rasional mengenai perkara ini. Kita tidak mahu usahawan rasa ‘lebih baik makan gaji daripada berniaga’ kerana isu membebankan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN