PETALING JAYA: Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dengan Kerajaan Norway bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta membincangkan langkah sewajarnya susulan keputusan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) yang menghentikan penghantaran peluru berpandu anti kapal Naval Strike Missile (NSM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan diplomatik itu diambil demi menjaga kepentingan negara.
Katanya, pembatalan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan kesiapsiagaan serta keperluan strategik pertahanan negara hubungan dua hala antara Malaysia dan Norway.
“Kementerian Pertahanan sememangnya mempunyai kontrak perolehan dengan KDA bagi pembekalan peluru berpandu NSM untuk melengkapkan keupayaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Kementerian mengambil perhatian terhadap perubahan pendirian Kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan yang memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, sebuah portal pertahanan melaporkan, Norway membuat keputusan secara unilateral untuk menyekat penghantaran peluru berpandu NSM yang dibangunkan KDA, sekali gus menamatkan kontrak berkenaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Malaysia.
Difahamkan keputusan untuk menghentikan penghantaran peluru berpandu NSM itu telah dimaklumkan kepada Mohamed Khaled dalam satu pertemuan bersama pegawai kerajaan Norway pada 20 April, iaitu hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026.
Kontrak pembelian dua set pelancar NSM dimeterai pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA 2025) dengan melibatkan kos kira-kira RM44 juta
Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, sebarang tindakan susulan akan dibuat secara teliti dan berpandukan kepentingan strategik negara.- UTUSAN










