PETALING JAYA: Harga runcit petrol RON95 dan diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing naik lima sen seliter bermula esok hingga 13 Mei ini susulan ketidaktentuan pasaran petroleum global yang masih berlarutan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, harga baharu RON95 ditetapkan pada RM4.02 seliter berbanding RM3.97 sebelum ini.
Katanya, manakala harga diesel di Semenanjung Malaysia meningkat kepada RM5.17 seliter berbanding RM5.12 seliter minggu lalu.
“Bagaimanapun, harga petrol RON97 kekal pada RM4.90 seliter,” katanya hari ini.
Menurut Kementerian Kewangan, harga petroleum dunia masih berada pada paras tinggi melebihi AS$100 setong ( RM395) berikutan konflik di Asia Barat yang masih belum menunjukkan penyelesaian.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kekangan bekalan minyak mentah dan produk petroleum global semakin meruncing susulan kerosakan kemudahan pengeluaran serta penapisan minyak di rantau terbabit.
“Kerajaan Madani menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memelihara kestabilan bekalan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan turut mengekalkan harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar termasuk RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, langkah itu diambil bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat selain memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.- UTUSAN










