MCCF sokong dedah kartel dalam PDRM - Utusan Malaysia

MCCF sokong dedah kartel dalam PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan kewujudan kartel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa bagi menjatuhkan pegawai atasan serta menguasai jawatan penting perlu disokong oleh semua pihak.

Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak berkata, usaha dan tindakan itu perlu mendapat sokongan daripada semua pucuk pimpinan PDRM sama ada pegawai atasan mahupun anggota bawahan bermula di peringkat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) sehingga ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD).

“Ini kerana kita tidak mahu disebabkan seorang melakukan keburukan, nama yang lain turut menjadi buruk. Bak kata peribahasa kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit.

“Hal ini juga dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi tertua negara ini yang kerap kali dilihat terpalit dengan isu dalaman sebagai contoh penglibatan anggotanya dalam sindiket Macau Scam yang mengikis pandangan masyarakat terhadap polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Abdul Hamid dilaporkan menegaskan kepada mana-mana pihak yang mempertikaikan kelantangannya mendedahkan sisi hitam pasukan PDRM termasuk isu berkaitan kartel yang menjadi darah daging pasukan sejak sekian lama dibuat sebagai tanggungjawabnya sebagai Ketua Polis Negara.

Halim berkata, masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam memberi pandangan dan komen terutama di media sosial sehingga menimbulkan salah faham dan fitnah terhadap kesahihan sesuatu perkara yang berlaku.

“MCCF menyarankan agar pucuk pimpinan dan warga PDRM terus menjaga integriti menjalankan amanah yang diberikan dalam usaha memastikan imej pasukan tetap tinggi di mata masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesiapsiagaan anggota PDRM menjalankan tugas dalam norma baharu dan terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19, adalah bukti jelas kesanggupan mereka mengetepikan keselamatan diri sendiri demi melindungi masyarakat daripada ancaman pandemik maut tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya