Masjid Sharifah Fatimah menang Anugerah Perdana - Utusan Malaysia

Masjid Sharifah Fatimah menang Anugerah Perdana

ABDUL AZIZ Jusoh (kiri) menyampaikan hadiah kepada Mohamad Fida’iy Zainal Abidin di Pusat Penyiaran AlHijrah, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Masjid Sharifah Fatimah di Batu 13, Kemunting, Mukim Gelong, Jitra, Kedah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Standard Penarafan Masjid Malaysia 2020.

Pernah dinobat masjid terbaik peringkat negeri beberapa tahun lalu selain terkenal keindahan landskap tanaman termasuk pohon kurma, ia mengatasi 27 masjid lain dari seluruh negara.

Keputusan tersebut diumumkan melalui program bual bicara pagi ‘Assalamualaikum’ secara langsung di stesen TV AlHijrah dari pusat penyiarannya di Kuala Lumpur, dekat sini hari ini.

Hadiah kemenangan berupa wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penyertaan disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Imamnya, Mohamad Fida’iy Zainal Abidin menjadi wakil masjid bagi menerima hadiah anugerah berprestij anjuran Jakim itu dengan kerjasama TV AlHijrah selaku rakan penyiar rasmi.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang terdahulu menyampaikan ucapan ringkas pada majlis berkenaan.

“Kemenangan itu adalah hasil keprihatinan semua ahli jawatan kuasa dan jemaah masjid yang bekerjasama memberikan sumbangan tidak terhingga sama ada wang ringgit dan tenaga.

“Mereka gigih dalam mengimarahkan Masjid Sharifah Fatimah. Moga-moga Allah membalas jasa anda semua,” katanya Mohamad Fida’iy selepas program tersebut berakhir.

Lebih unik, masjid tersebut turut memenangi kategori pengurusan bestari yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 serta plak penghargaan dan sijil pengiktirafan Jakim.

Sebanyak 28 buah masjid menerima anugerah dalam majlis tersebut, yang melibatkan dua masjid daripada setiap negeri dengan hadiah diberikan dalam bentuk wang tunai, plak dan sijil.

Selain Jakim, beberapa agensi turut terlibat antaranya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Zulkifli dalam pada itu memaklumkan bahawa matlamat Anugerah Masjid Malaysia ini diadakan bagi memberi penghargaan kepada masjid-masjid yang telah komited.

“Ini termasuk dalam memberikan sumbangan masa, tenaga dan idea untuk mengimarahkan rumah Allah, dalam usaha membudayakan masyarakat yang mencintai masjid,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya