IPOH: Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri hari ini melancarkan Kempen Pengumpulan Buangan Barangan Elektrik dan Elektronik (e-waste) peringkat negeri Perak sejajar dengan penerapan agenda ‘Perak Bumi Lestari’.
Kempen itu bermatlamat menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kesan pembuangan perkakasan elektrik secara tidak teratur (e-waste) selain meningkatkan kesedaran awam untuk menjaga alam sekitar.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kempen sama yang dilaksanakan pada tahun lalu mengumpul sebanyak 44.3 tan metrik buangan E-Waste isi rumah sekali gus menjadikan Perak antara negeri merekodkan kutipan tertinggi.
Sehubungan itu, kata beliau, pada tahun ini, kempen tersebut terus dipergiat dengan penglibatan lebih menyeluruh anggota masyarakat melalui kerjasama kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melaksanakannya di setiap daerah.
“Dengan jalinan kerjasama yang menyeluruh ini, pelaksanaan sistem pengumpulan dan pembuangan barangan elektrik dan elektronik di dalami Perak dapat dijalankan lebih selamat, tersusun dan berkesan.
“Kesemua buangan e-waste yang dikumpulkan di semua pusat pengumpulan daerah dikutip dan diuruskan oleh syarikat yang dilesenkan JAS Perak untuk dikitar semula dan dilupuskan,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen e-waste Peringkat negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE