Kerugian RM62.3 juta pinjaman tidak wujud - Utusan Malaysia

Kerugian RM62.3 juta pinjaman tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengangguran yang tinggi ekoran pandemik Covid-19 menyebabkan ramai terpedaya dengan sindiket pinjaman tidak wujud apabila 5,718 kes dicatatkan bagi sepanjang tahun lalu.

Keseluruhan kes tersebut mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM62.3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, terbaharu pihaknya menahan empat individu berusia antara 21 hingga 42 tahun di sekitar Lembah Klang pada 1 Mac lalu.

Katanya, siasatan mendapati sindiket yang bergiat aktif sejak sebulan lalu menawarkan pinjaman tidak wujud dengan menghubungi serta menghantar mesej kepada mangsa.

“Kemudian mangsa diarah membayar pelbagai yuran antaranya yuran perundangan, perjanjian, insurans dan sebagainya.

“Selepas mangsa membuat pembayaran tersebut, sindiket akan memutuskan hubungan dan gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainuddin, pihaknya turut merampas 10 telefon bimbit, satu buku catatan berkaitan kegiatan, dokumen sewa rumah dan lima kad wang pengeluaran (ATM).

Pihaknya turut menahan 21 individu termasuk tiga wanita yang terlibat dalam sindiket pelaburan di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Jelasnya, siasatan mendapati kesemua individu terbabit menawarkan sindiket pelaburan Likeshare, Zan Zan Lee, Isharefans dan E-currency Investment Bitcoin.

“Ahli sindiket akan menawarkan pelaburan yang rendah tetapi menjanjikan pulangan berganda. Sindiket kemudian akan menghilangkan diri selepas mendapat wang pelaburan.

“Turut dirampas pelbagai barangan antaranya 28 telefon bimbit, 17 kad ATM, 11 kad kredit, tiga komputer riba serta wang tunai RM11,930,” katanya.

Zainuddin turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan dalam media sosial.

“Orang ramai juga perlu membuat semakan di agensi berkaitan sebelum membuat pinjaman atau melabur wang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya