SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hanya akan membantah pembinaan Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, Melaka sekiranya ia didapati tidak mematuhi laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) Jabatan Alam Sekitar.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun Melaka mempunyai hak untuk membangunkan projek berkenaan, sekiranya ia mendatangkan kesan buruk di Negeri Sembilan, kerajaan negeri akan membantah dan tidak berkompromi dalam perkara tersebut.
“Mereka harus lulus EIA barulah kerajaan negeri bersetuju. Namun, pada dasarnya mereka nak buat pelabuhan, kita benarkan itu tanah (kawasan) mereka. Itu perancangan mereka tetapi mereka kena faham bahawa kita tidak mahu nanti masalah itu memberi kesan kepada Negeri Sembilan.
“Kita tidak mahu ada hakisan di kawasan Negeri Sembilan, tidak mahu ada masalah dengan nelayan. Kita ingatkan di peringkat awal ketika kita bersetuju dan dibincangkan di peringkat Pusat semasa mesyuarat Majlis Fizikal Negara, kita setuju tapi perkara seperti EIA harus dipatuhi termasuk laporan teknikal lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri dekat sini, baru-baru ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan ura-ura pembinaan KLIP yang bermula pada suku pertama tahun ini menimbulkan rasa bimbang nelayan di Telok Kemang, Port Dickson.
Pembinaan pelabuhan antarabangsa itu yang melibatkan kerja-kerja menambak laut seluas kira-kira 248 hektar dilihat memberi kesan kepada kawasan perairan di Negeri Sembilan termasuk menjejaskan hasil tangkapan para nelayan.
Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan laporan EIA bagi kerja-kerja pengorekan dan penambakan projek tersebut dan ia dipamerkan sehingga 25 Mac ini bagi memberi peluang kepada orang ramai memberikan ulasan mengenai projek di muara Sungai Linggi itu.
Sementara itu, menurut Aminuddin, antara perkara lain yang perlu diberikan perhatian oleh pihak yang terlibat dalam projek berkenaan adalah dalam isu pampasan kepada nelayan termasuk nelayan di kawasan Negeri Sembilan yang turut terkesan.
“Nelayan yang berdekatan dengan projek harus diberikan perhatian walaupun di bawah Negeri Sembilan. Kalau perlu dapat pampasan perlu dibayar pampasan yang sama dengan nelayan Melaka.
“Namun paling penting, penambakan itu melibatkan alam sekitar dan perlu dipatuhi sepenuhnya. Kerajaan Melaka harus sensitif kerana ia melibatkan negeri sempadan dengan mereka, harus ikut semua yang ditetapkan, ikut peraturan sama ada EIA atau laporan teknikal lain, ini penting bagi memastikan hubungan persempadanan kita dalam keadaan yang baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










