Kebakaran hutan punca 7 kawasan catat IPU tidak sihat - Utusan Malaysia

Kebakaran hutan punca 7 kawasan catat IPU tidak sihat

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tujuh kawasan di sekitar Semenjung mencatatkan status Indeks Pencemar Udara (IPU) sebagai tidak sihat setakat bacaan pada pukul 4 petang tadi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hanya sembilan kawasan mencatatkan kualiti IPU pada tahap baik manakala 54 lagi pada tahap sederhana.

“Kadar IPU direkod tidak sihat meliputi lima stesen di Selangor iaitu Johan Setia dengan bacaan 188, Banting (167), Petaling Jaya (133), Klang (107) dan Shah Alam (104),” katanya.

Katanya, baki dua lagi stesen ialah Cheras dengan bacaan 111 dan satu stesen di Rompin, Pahang (133).

Punca kualiti udara tidak sihat itu disebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka dalam negara susulan keadaan cuaca panas dan kering bermula pertengahan bulan lalu hingga kini.

Keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang hari ini berpunca kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Februari lalu.

“Pembakaran terbuka untuk aktiviti pertanian tanah gambut di Johan Setia mula dikesan pada 5 Februari lalu dengan lima lokasi melibatkan anggaran keluasan 1.2 hektar,” jelas beliau.

Tuan Ibrahim menambah, situasi itu menyebabkan kualiti udara tidak sihat di situ dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengesan kebakaran belukar di Rompin yang seluas empat hektar.

Pihaknya telah mengarahkan agensi itu segera melakukan siasatan dan tindakan penguatkuasaan tegas terhadap kes-kes pembakaran terbuka di kawasan yang terlibat.

Setakat ini jelasnya, JAS sudah menyediakan enam kertas siasatan selain mengenakan satu kompaun dan empat notis arahan terus di lapangan yang terbabit dengan kebakaran itu.

“Tindakan juga telah diambil kepada pemilik tanah, operator tapak pelupusan sampah dan pelaku yang menyebabkan pembakaran terbuka sehingga kualiti udara tejejas,” katanya.

Katanya, JAS turut memantau status dan trend kualiti udara setiap jam berikutan bacaan telah mencecah tahap tidak sihat di sejumlah kawasan yang berkenaan.

Pelaku aktiviti salah itu tegasnya, jika disabitkan di mahkamah mereka boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes tersebut jelasnya, akan disiasat di bawah Seksyen 29A(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kompaun sehingga RM2,000 boleh dikenakan atas setiap kesalahan dilakukan.

Orang ramai yang ada maklumat juga boleh melaporkan terus kepada talian bebas tol JAS iaitu 1-800-88-2727 atau melalui aduan di pautan laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya