Kampung Morten hab keusahawanan - Utusan Malaysia

Kampung Morten hab keusahawanan

WAN JUNAIDI Tuanku Jaafar (dua dari kanan) merasmikan majlis pecah tanah Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kampung Morten di sini diangkat  menjadi lokasi baharu pusat keusahawanan dengan pembinaan Hab Keusahawanan Morten Walk bernilai RM8 juta.  

Pembangunan dengan konsep moden dan ‘trendy’ itu merupakan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi UDA Holdings Berhad (UDA). 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, projek pembinaan pusat keusahawanan itu akan dibangunkan di kawasan seluas 1.67 hektar berdekatan Sungai Melaka. 

“Kita akan membangunkan sebuah pusat  Hab Keusahawanan Morten Walk bernilai RM8 juta bagi memperkukuhkan sosiokonomi rakyat dan juga sebagai platform mengukuhkan pasaran produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di bawah kementerian. 

“Projek ini bakal menyediakan 100 ruang sewaan untuk para usahawan meliputi lot berbentuk kabin serta lot promosi untuk perniagaan makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai pelbagai, kedai IT (informasi maklumat) dan sebagainya,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis pecah tanah Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten di sini, hari ini. 

Turut hadir ialah Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias. 

Tambah Wan Junaidi, pihaknya berharap aktiviti keusahawanan akan menjadi lebih aktif dan rancak di negeri ini menerusi projek pembinaan hab keusahawanan itu yang dijangka beroperasi pada Oktober depan. 

Ujarnya lagi, pihaknya akan turut menawarkan bantuan kepada usahawan yang layak seperti kadar sewaan di bawah harga pasaran, insentif berupa kos pengurusan atau rebat sewaan dan manfaat fasiliti.

“Semoga bantuan-bantuan ini dapat menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai usahawan di seluruh Malaysia selari dengan prinsip perniagaan UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari.

“Saya ingin melihat usahawan tempatan khususnya usahawan bumiputera merebut peluang ini dan berniaga di tempat yang lebih menarik serta kondusif dalam usaha meningkatkan taraf perniagaan masing-masing,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya